Wakil rakyat, petugas Parlimen masih jalani saringan Covid-19

Wakil rakyat, petugas Parlimen masih jalani saringan Covid-19

Seorang jurucakap Parlimen berkata, ujian saringan masih berterusan sejak 2.30 petang.

Petugas Kementerian Kesihatan di bangunan Parlimen hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen masih menjalani ujian saringan Covid-19.

Seorang jurucakap Parlimen berkata, saringan itu masih berterusan sejak 2.30 petang tadi.

“Itu sebabnya persidangan ditangguhkan,” katanya.

Sidang Parlimen diumumkan akan bersambung semula selepas 5.15 petang, yang memberikan masa kurang setengah jam untuk perbahasan sebelum Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga Isnin depan, kecuali Yang Dipertua Dewan Rakyat membenarkan lanjutan.

Terdahulu, dilaporkan 56 kes Covid-19 dikesan di Parlimen, ia termasuk dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, semua orang di Parlimen diminta menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum meninggalkan bangunan itu.

“Pada 3.30 petang, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan mereka menerima maklumat daripada Ketua Pengarah Kesihatan berhubung kes positif di Parlimen.

“Persoalan saya sekarang ialah bagaimana perdana menteri, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menteri lain meninggalkan Parlimen untuk berkumpul di Bukit Damansara?

“Adakah mereka menjalani ujian saringan sebelum meninggalkan Parlimen?” soalnya.

Kekecohan tercetus di Parlimen tengah hari tadi, selepas Yang di-Pertuan Agong mendedahkan pembatalan Ordinan Darurat, seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan di Parlimen Isnin lalu, tidak diperkenan baginda.

Sidang Parlimen sepatutnya bersambung semula 2.30 petang, dengan Timbalan Yang Dipertua, Azalina Othman Said pada mulanya mengumumkan ia akan disambung pada 3.30 petang, tanpa sebarang penjelasan diberikan.

Terdahulu, Bernama melaporkan beberapa kenderaan dipercayai membawa Menteri dan Peguam Negara memasuki perkarangan kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata, sepatutnya setiap orang disaring.

“Kenapa ada layanan keutamaan, jika kita semua sudah terdedah kepada Covid-19?

“Ujian saringan sepatutnya dilakukan secara menyeluruh dengan seorang orang mematuhi SOP sama,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pengesanan kontak yang betul juga perlu dilakukan ke atas semua orang bagi mengelakkan penularan.

“Adakah ini sudah dilakukan?” soalnya.

Pemimpin Amanah itu berkata, mereka yang meninggalkan bangunan itu lebih awal mungkin melanggar undang-undang kerana mereka kini diklasifikasikan pesakit bawah siasatan (PUI).

Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) pula berkata, ini mungkin menyebabkan satu lagi penularan.

“Disebabkan Ketua Pengarah Kesihatan sudah beritahu setiap orang perlu disaring, mereka yang keluar awal mungkin menyebabkan penularan berpotensi.”

RSN Rayer (PH-Jelutong) terkejut dengan berita sesetengah Menteri berada di rumah Perdana Menteri.

“Mengapa mereka dibenarkan keluar? Bukankah mereka juga patut menjalani ujian sama yang kami lakukan?” soalnya.

Katanya, pemimpin kerajaan sepatutnya tahu mengenai arahan kesihatan lebih awal dan mematuhi langkah berjaga-jaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.