
Mohmmadhossein Samadi, yang telah berkahwin wanita tempatan, mahu jabatan imigresen membawanya ke mahkamah supaya dia dapat dibebaskan.
Dia juga memohon perintah melarang jabatan itu daripada mengusirnya sementara menunggu permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Mohmmadhossein menamakan Ketua Pengarah Penjara dan Jabatan Imigresen selain Kementerian Dalam Negeri sebagai responden dalam permohonan difailkan pada 10 Mei itu.
Isterinya, Ginny Lim Su Lane, 36, turut memfailkan afidavit sokongan, yang antara lain mengemukakan bukti mereka telah berkahwin pada 5 Mei 2012 dan mempunyai dua anak berusia tujuh serta lima tahun.
Mohmmadhossein didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu bagi kesalahan lalu lintas.
Dia mengaku salah memandu secara melulu ketika di bawah pengaruh alkohol, dan dipenjara dua hari serta didenda RM10,000.
Lim berkata, suaminya membayar denda itu, tetapi sebaik selesai hukuman penjara dia dipindahkan ke penjara imigresen di Kuala Kubu Baru, seterusnya ke depoh transit di Sungai Bakap, Pulau Pinang sebelum dihantar pula ke satu lagi depoh tahanan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Lim berkata Mohmmadhossein mempunyai pasport Iran yang sah sehingga 11 Sept 2025 dan visa kemasukan berganda sehingga 17 Nov tahun ini.
Katanya, seorang pegawai imigresen yang hanya dikenali sebagai Nadia telah memaklumkannya pada 6 Mei bahawa suaminya akan diusir pulang ke negara asal.
Lim berkata, penahanan itu melanggar Perlembagaan dan Mohmmadhossein tidak dimaklumkan kenapa dia ditahan pihak imigresen.
Menurutnya, pihak berkuasa imigresen sepatutnya membawa Mohmmadhossein ke mahkamah dalam tempoh 14 hari selepas dibawa dari penjara pada 26 April.
“Tindakan mereka melanggar Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen,” katanya.
Mohmmadhossein diwakili barisan peguam Alex Anton Netto, Yap Boon Jhoe dan Kevin De Rozario.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria dalam prosiding di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa berkata, permohonan itu wajar ditolak kerana tiada merit.
“Ketua Pengarah Imigresen telah mengeluarkan notis kepada Mohmmadhossein pada hari ke-13 penahanannya (8 April) bahawa visanya telah dibatalkan dan dia akan diusir,” katanya.
Suhairy yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Syameerah Mustapha berkata, Ketua Pengarah berkenaan telah mematuhi Seksyen 34 Akta Imigresen.
Netto memohon penangguhan untuk memfailkan afidavit jawapan tambahan serta berhujah mengenai isu dibangkitkan Suhairy.
Yazid menetapkan 5 Ogos untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak.