Negara rugi RM40.7 bilion daripada sektor MSME tahun lalu, kata menteri

Negara rugi RM40.7 bilion daripada sektor MSME tahun lalu, kata menteri

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sudah mengemukakan kepada kerajaan pusat mengenai cadangan SOP bagi membantu mempercepatkan pembukaan perniagaan.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata ia adalah kerugian terbesar yang pernah ditanggung oleh sektor MSME ekoran tidak dapat membuka perniagaan mereka.
PETALING JAYA:
Negara kerugian sebanyak RM40.7 bilion daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) tahun lalu susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara bagi mengawal penularan Covid-19, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Berdasarkan angka terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan, beliau berkata, sumbangan KDNK bagi sektor MSME mengalami penurunan lebih 7% tahun ke tahun kepada RM512.8 bilion tahun lalu berbanding RM553.5 bilion pada 2019.

Katanya, ia merupakan kerugian terbesar yang pernah ditanggung oleh sektor MSME – petunjuk kukuh bahawa pengusaha sedang menderita kerana tidak dapat membuka perniagaan mereka.

“Melihat kepada angka 1.15 juta MSME yang didaftarkan di seluruh negara ketika ini, kerugian itu bermaksud setiap syarikat MSME mengalami penurunan purata pendapatan sebanyak RM35,000 pada 2020.

“Sekatan penuh bukan lagi jawapan untuk masalah ini. Kita harus menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama Covid-19 dan mencari jalan penyelesaian yang seimbang untuknya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kementeriannya sudah pun mengemukakan kepada kerajaan pusat mengenai cadangan SOP bagi membantu mempercepatkan pembukaan perniagaan terutama dalam kategori “pertama dibuka terakhir ditutup”, dengan persekitaran selamat.

“Penambahbaikan SOP itu memfokuskan kepada enam aktiviti ekonomi, iaitu makanan dan minuman, pusat membeli-belah, kedai jam tangan, perkhidmatan dandanan, salon kecantikan dan kedai gunting rambut.

“Hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti dimiliki oleh usahawan wanita, antara kumpulan yang paling terjejas oleh penutupan seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, antara SOP yang dicadangkan termasuk pemilik dan pekerja perniagaan mesti melengkapkan dua dos vaksin Covid-19; mesti melakukan ujian saringan mingguan dan penutupan segera premis untuk tujuan sanitasi sekiranya kes Covid-19 dikesan.

Awal bulan ini, Wan Junaidi berkata, dianggarkan 580,000 perniagaan yang mewakili 49% daripada perusahaan MSME berdepan risiko gulung tikar menjelang Oktober ini sekiranya mereka terus tidak diberi kebenaran beroperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.