Hormat, jangan hina gelandangan, Annuar tegur penceramah

Hormat, jangan hina gelandangan, Annuar tegur penceramah

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut meluahkan rasa kecewa dengan isu terbaru berlaku apabila seorang penceramah bertindak memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Annuar Musa kecewa dengan isu terbaru berlaku apabila tular video seorang penceramah bertindak memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Mana-mana pihak yang ingin mengadakan program bersama golongan gelandangan diingatkan supaya menjaga adab dan tidak bertindak melampau dengan menghina kumpulan itu, tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan isu terbaru berlaku apabila seorang penceramah bertindak memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur semasa menyampaikan motivasi bertajuk “ubah hidup”.

“Saya dukacita melihat cara mereka dilayan demikian rupa. Jangan menghina gelandangan ‘treat them with respect please’. Saya berharap, pihak yang mahu menyantuni gelandangan perlulah daripada mereka yang bertauliah dan profesional,” katanya kepada FMT.

Terdahulu tular video lelaki yang tidak memakai pelitup muka memarahi seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 11.30 pagi 27 Julai, lelaki terbabit dikatakan menyampaikan ceramah motivasi bertajuk “ubah hidup” kepada 20 gelandangan di pusat gelandangan di Jalan Pahang itu.

Annuar turut memaklumkan program tersebut di bawah seliaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan pihaknya menyerahkan kepada pihak polis melakukan siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki terbabit dipanggil petang tadi bagi memberi keterangan berhubung insiden itu termasuk mengenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.