PGA rampas lebih 5,500 karton rokok haram, bernilai hampir RM1 juta

PGA rampas lebih 5,500 karton rokok haram, bernilai hampir RM1 juta

Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun turut ditahan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan rokok haram berkenaan.

Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan bersama lebih 5,500 karton rokok haram bernilai hampir RM1 juta dalam Op Kontraban di Jalan Murni 6, Paloh di Kluang, Johor.
PETALING JAYA:
Satu sindiket pengedaran rokok haram di sekitar daerah Kluang, Johor tumpas selepas Batalion ke-5 Pasukan Gerakan Am (PGA5) merampas sebanyak 5,580 karton bernilai RM987,456 dalam satu operasi di Jalan Murni 6, Paloh, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA5 Dimin Awang berkata, dalam operasi Op Kontraban pada 9.30 malam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan rokok haram berkenaan.

“Hasil siasatan awal suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran sekitar daerah Kluang,” katanya dalam kenyataan.

Dimin berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar daerah Kluang,” tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.