
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid menetapkan 5 Ogos untuk keputusan penuh berkaitan perintah itu namun berkata, sehingga tarikh itu Arun tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan mengenai kes berkenaan termasuk di media sosial.
Pejabat Pendakwa Pulau Pinang memohon perintah larangan terhadap Arun itu pada 18 Jun lalu. Aktivis berkenaan lantang bersuara di Facebook sejak dua bulan lalu dengan menggesa pendakwaan meneliti bahan bukti dalam perbicaraan yang sedang berlangsung itu.
Dalam prosiding permohonan perintah larangan itu bulan lalu, peguam Arun, Rajesh Nagarajan berjanji bahawa anak guamnya tidak akan membuat kenyataan lanjut sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung perkara itu.
Susulan itu, hari ini, Radzi menyoal peguam itu kenapa Arun mengumumkan di Facebook serta WhatsApp semalam dan hari ini bahawa beliau akan mengadakan sidang media selepas prosiding hari ini.
Arun kemudian memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.
Rajesh sebelum itu berhujah bahawa perintah larangan terhadap anak guamnya akan menyekat kebebasan bersuara aktivis itu seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Rajesh berkata, Arun membuat kenyataan di Facebook selepas pihak pendakwaan enggan menemui keluarga Nhaveen berhubung bahan bukti yang dikatakan penting berkaitan perbicaraan itu.
Katanya, usaha pihaknya untuk menemui pendakwaan dengan beberapa saksi turut menemui jalan buntu.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim berkata, perintah larangan itu adalah perlu bagi melindungi kewibawaan prosiding kes bunuh itu daripada sebarang kenyataan luar yang mampu menjejaskan proses perbicaraan.
Sementara itu, peguam Maanveer Singh Dhillon juga berang selepas melihat T Previin, saksi utama perbicaraan itu, duduk di galeri awam.
Maanveer berkata, kegagalan Previin menghadiri perbicaraan itu awal bulan ini menyebabkan kes terpaksa ditangguhkan sebulan.
“Tolonglah hormat mahkamah. Kamu tiada ketika perbicaraan, kini muncul pula,” katanya sebelum meninggalkan kamar itu.