
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kerajaan juga diharap supaya tidak berasa terlalu susah hati untuk melaksanakannya hanya kerana ia ilham Ahli Parlimen Umno.
“Yang penting nasib rakyat dapat dilindungi dan negara dapat diselamatkan segera,” katanya dalam Facebook.
Zahid berkata, justeru adalah tidak benar dakwaan konon pimpinan Umno yang tidak berada dalam kerajaan hanya tahu merungut dan mengkritik.
“Sebenarnya sudah banyak cadangan, pandangan dan lontaran idea dikemukakan oleh pemimpin Umno selama ini.
“Tetapi sebahagian besar tidak dilayan walaupun jelas dapat memanfaatkan rakyat dan negara,” katanya.
Zahid berkata, Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan turut sudah mengemukakan lebih 25 cadangan bernas di Dewan Rakyat hari ini supaya negara dapat memerangi pandemik Covid-19 dengan tepat dan efektif.
Zahid sebelum ini disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada 24 Julai yang diwajibkan kepada semua Ahli Parlimen sebagai langkah keselamatan.
Beliau dilaporkan berada dalam keadaan baik dan menjalani kuarantin kendiri.