Percepat vaksin pekerja pelancongan Sabah, kata STB

Percepat vaksin pekerja pelancongan Sabah, kata STB

Lembaga Pelancongan Sabah berkata ia seiring dengan seruan Ketua Menteri Hajiji Noor bagi mencapai sasaran 60% vaksinasi dalam kalangan penduduk Sabah menjelang Okt.

KOTA KINABALU:
Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan di sini mengenai keperluan mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja sektor pelancongan di negeri itu, kata pengerusinya, Joniston Bangkuai.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha bersepadu untuk mempercepatkan pembukaan semula industri pelancongan di negeri ini.

“Kita dimaklumkan jumlah pekerja pelancongan dan barisan hadapan yang telah menerima vaksin masih pada tahap rendah dan ini boleh menghalang pembukaan semula industri pelancongan Sabah dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Joniston yang juga pembantu menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar berkata, keperluan itu seiring dengan seruan Ketua Menteri Hajiji Noor bagi mencapai sasaran 60% vaksinasi dalam kalangan penduduk Sabah menjelang Okt.

Katanya, vaksinasi untuk sektor pelancongan harus merangkumi, antara lain staf hotel, pengendali pelancongan, pemandu bot, pekerja pelancongan desa, pemandu bas pelancongan dan penyelam skuba.

“Setelah pekerja sektor pelancongan diberi vaksin, maka pergerakan antara negeri dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu Joniston berkata, STB akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk memperoleh pensijilan Pelancongan Hijau dan memperkenalkan polisi insurans Covid-19 bagi meningkatkan keyakinan para pengunjung.

Katanya, STB sedar mengenai keperluan penglibatan berterusan bersama sektor awam dan swasta bagi menyokong penggiat industri pelancongan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam masa-masa sukar.

“Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan Negeri akan bermesyuarat minggu depan untuk membincang dan menyemak semula Peta Jalan Pemulihan Pelancongan yang dirangka selepas mesyuarat pertama jawatankuasa itu pada akhir tahun lepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.