Nak gurau pasal ‘Spanish-Fly’ kita boleh maaf, tapi tidak bagi lebih 8,000 rakyat terkorban akibat Covid-19, kata Nga

Nak gurau pasal ‘Spanish-Fly’ kita boleh maaf, tapi tidak bagi lebih 8,000 rakyat terkorban akibat Covid-19, kata Nga

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata individu lain harus diberi peluang untuk menggantikan Dr Adham Baba jika beliau merasakan tidak layak untuk mengetuai sektor kesihatan negara.

Nga Kor Ming meminta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberikan individu lain peluang untuk membuktikan mereka mampu selamatkan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Pelbagai gurauan dan kesilapan dilakukan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba termasuk menyatakan bahawa air suam mampu menyembuhkan Covid-19 dan terbaharu “Spanish-Fly” boleh dimaafkan, namun tidak bagi lebih 8,000 rakyat yang terkorban akibat virus berkenaan, kata Ahli Parlimen DAP.

Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) berkata, individu lain harus diberi peluang untuk menggantikan Adham jika beliau berasa tidak layak untuk mengetuai sektor kesihatan negara.

“Sekiranya guna acuan lama, bagaimana kita nak dapat hasil yang baru? Saya boleh maafkan menteri walaupun kelakar dengan air suam sebagai mujarab (rawat Covid-19) malah dengan ‘spanish fly’ nya, itu semua saya boleh maafkan tetapi nyawa rakyat seramai 8,200 sudah terkorban.

“Saya sarankan, wahai menteri jika gagal, kerajaan gagal… sila letak jawatan. Ini permintaan ikhlas kita. Beri individu lain peluang untuk membuktikan mereka mampu selamatkan Malaysia. Ini adalah untuk rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Nga turut mendakwa sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) di Perak terpaksa ditutup kerana kekurangan bekalan.

“Tetapi pada masa sama, kerajaan membenarkan Pharmaniaga untuk menjual 14 juta dos vaksin Sinovac sementara Majuperak Holdings Bhd dibenarkan menjual satu dos dengan harga RM388.

“Ini tidak berperikemanusiaan. Ini jenayah terhadap rakyat,” tegasnya.

Dalam laporan Sinar Harian pada 14 Julai, Menteri Besar Saarani Mohamad menyangkal dakwaan PPV di negeri berkenaan ditutup kerana kekurangan bekalan vaksin.

Pada 23 Julai, Utusan Malaysia memetik Saarani sebagai berkata, negeri itu tidak mampu memberikan vaksin kepada 40% populasi dewasanya berikutan penghantaran yang perlahan ke negeri berkenaan.

Sementara itu, Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) berkata, perkara paling mustahak dan utama yang perlu dilakukan Adham ketika ini adalah melindungi hak dan kebajikan doktor di bawah kementeriannya.

“Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana mendedahkan isu-isu mengenai masalah tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.