
Menurut beberapa peguam, pembatalan ini, yang diumumkan di Dewan Rakyat semalam, hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Parlimen.
Persoalan dibangkitkan mengenai mengapa pembatalan itu, yang berkuat kuasa mulai 21 Julai, tidak diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan, sementara aktivis masyarakat sivil mahu tahu mengapa rakyat hanya diberitahu lima hari kemudian.
Presiden Transparency International Malaysia Muhammad Mohan memberitahu FMT, kelewatan mengumumkan pembatalan tersebut menimbulkan keraguan mengenai niat kerajaan.
Di Dewan Rakyat semalam Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan sama ada keputusan ini dipersetujui Agong, manakala Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, ia sepatutnya diputuskan dan diumumkan Agong, bukan kerajaan.
Mengapa kami tidak diberitahu?
Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann mempersoalkan mengapa perkara penting seperti itu tidak diumumkan kepada rakyat pada masa itu.
Tiada sebarang pemberitahuan warta mengenai hal ini didapati di laman web Pejabat Peguam Negara, katanya.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus menjelaskan kepada rakyat bagaimana ini boleh berlaku,” katanya.
Beberapa peguam berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk membatalkan enam Ordinan Darurat tiada kesan, kecuali setelah Agong mempersetujuinya dan perintah berkenaan diterbitkan dalam Warta.
Prosedur yang betul
“Pada pandangan saya, Jemaah Menteri tidak boleh secara sepihak membatalkan perkara-perkara seperti itu,” kata peguam Bastian Pius Vendargon kepada FMT.
Katanya, pemberitahuan warta adalah bahagian penting dalam prosedur undang-undang dan prosedur yang betul mesti diikuti bagi sebarang keputusan untuk ia berkuat kuasa.
“Jika Agong tidak terlibat dalam hal ini dan tidak ada pewartaan, maka ordinan-ordinan itu tidak dapat dibatalkan,” katanya.
Bagaimana dengan kompaun?
Dua peguam terkemuka mempersoalkan impak keputusan Jemaah Menteri itu terhadap mereka yang dihukum atas kesalahan melanggar PKP.
Muhammad Rafique Rashid Ali berpendapat, mereka yang telah membayar denda dan kompaun selepas 21 Julai boleh mempertikaikan hukuman “atau menolak untuk membayarnya, malah bertanya atas dasar apa kompaun itu diberikan”.
“Rakyat kini berhak mengabaikan notis kompaun (yang dikeluarkan selepas 21 Julai), mempertikaikannya di mahkamah dan mula meminta kepada agensi berkaitan untuk mengembalikan wang mereka,” katanya.
Peguam hak sivil Andrew Khoo juga berpendapat, mereka yang didenda selepas 21 Julai boleh meminta wang mereka dikembalikan, “terutamanya jika didakwa dengan undang-undang yang sudah tidak wujud, termasuk hukuman berkaitannya”.
Bagaimanapun, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peraturan mengenai sekatan pergerakan dan notis kompaun yang dikeluarkan setakat ini masih sah kerana peraturan tersebut dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), “bukan di bawah Ordinan Darurat”.
“Ramai yang keliru tentang perkara ini,” katanya menurut laporan Bernama.
“Sebenarnya, tiada masalah tentang kompaun yang telah dibayar, belum dibayar atau akan dibayar kerana semuanya di bawah Akta 342.”
Bagaimanapun, Haniff Khatri turut bersetuju bahawa proses pembatalan undang-undang hanya boleh dilakukan oleh Agong atau melalui usul pembatalan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Undang-undang masih berkuatkuasa
Dewan Rakyat dimaklumkan mengenai pembatalan Ordinan Darurat semalam dalam pengumuman mengejut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.
Katanya, kerajaan juga memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh darurat yang bakal berakhir pada 1 Ogos.
Andrew Khoo memberitahu FMT, banyak undang-undang yang diperkenalkan melalui Ordinan Darurat sudah wujud dalam statut.
“Sekalipun ‘ordinan berita palsu’ tidak lagi wujud, kesalahan berkait ‘berita palsu’ masih wujud di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan,” katanya.
Ordinan Darurat yang dibatalkan
Berikut adalah ringkasan ordinan-ordinan terbabit:
- Kuasa atas tanah dan sumber: Kerajaan boleh mengambil alih tanah, bangunan atau harta alih, selain menuntut penggunaan sumber. Mereka yang melanggar perintah boleh dihukum denda RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun.
- Denda bagi kesalahan melanggar PKP: Nilai denda dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 mulai 11 Mac. Syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda RM50,000. Bagi kesalahan tanpa denda yang ditetapkan, denda hingga RM100,000 atau hukuman penjara maksimum tujuh tahun boleh dikenakan.
- Penggunaan dana rizab: Kerajaan boleh menggunakan dana rizab untuk memperoleh vaksin.
- Hukuman bagi penyebaran berita palsu: Mereka yang membuat, menerbitkan atau menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 atau darurat boleh dihukum denda sehingga RM100,000, hukuman penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya. Jika tertuduh gagal meminta maaf seperti yang diperintahkan mahkamah, mereka boleh didenda tambahan RM50,000. Individu yang membayar untuk “mencipta” berita palsu boleh didenda hingga RM500,000. Semua denda disertai hukuman penjara.
- Perumahan pekerja: Hukuman yang lebih tegas terhadap majikan atau pemilik bangunan yang gagal menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai untuk pekerja. Pemilik penginapan boleh diperintahkan untuk mengganti, menukar atau menaik taraf kemudahan yang tidak memenuhi kriteria tertentu. Mereka yang enggan mematuhinya boleh didenda hingga RM200,000 atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya. Buat pertama kalinya, undang-undang ini diperluas ke Sabah dan Sarawak.
- Khidmat masyarakat: Mereka yang berdepan hukuman penjara hingga tiga tahun boleh dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat berbanding mereka yang berdepan hukuman penjara hingga tiga bulan.