
Injunksi Erinford sebelum ini diberikan oleh Mahkamah Tinggi berakhir bulan lalu.
Panel hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil turut membenarkan perintah yang dipohon Dhaya Maju-LTAT terhadap Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk menghalangnya mengambil langkah lanjutan untuk menarik balik lesennya menduduki tapak kerja di Klang, iaitu dari Pelabuhan Klang ke Jalan Kastam.
Terdahulu, mahkamah mendengar hujah oleh peguam mewakili syarikat, kerajaan dan KTMB.
“Kami berpandangan bahawa ada merit dalam permohonan ini dan kami bersetuju dengan hujah peguam syarikat (Khoo Guan Huat),” kata Abdul Karim, yang disertai Hadhariah Syed Ismail dan Che Mohd Ruzima Ghazali dalam panel.
Kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali, Azlin Sabtu dan Nurul Atiqah Azizan, manakala peguam Sean Yeow mewakili KTMB.
Hakim Mahkamah Tinggi Lim Chong Fong bulan lalu menolak permohonan injunksi Dhaya Maju-LTAT terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong kerana menamatkan kontrak penyelenggaraan landasannya.
Lim berkata, tiada injunksi boleh dikeluarkan terhadap kerajaan dan kakitangan awam kerana menjalankan tugas mereka seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan.
Bagaimanapun, beliau membenarkan injunksi Erinford bagi mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
Dhaya Maju-LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan tahun lalu untuk mengisytiharkan penamatan kontrak itu tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.
Katanya, kerajaan tidak mempunyai asas untuk menamatkan kontrak atas alasan kepentingan umum.
Ia mendakwa Wee mempunyai “niat tersembunyi dan tidak wajar” untuk menamatkan kontrak tersebut.
Selain kerajaan dan Wee, firma perunding Opus Consultants turut dinamakan dalam tuntutan mahkamah berkenaan.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Rayuan, Khoo berkata, Seksyen 29 tidak melarang sesiapa memohon injunksi di peringkat interlokutori.
Bagaimanapun, Asliza berkata, percubaan Dhaya Maju-LTAT untuk mendapatkan injunksi Erinford dianggap bersifat akademik kerana hakim Mahkamah Tinggi yang lain telah mengeluarkan perintah penangguhan terhadap kerajaan.
Perintah berkenaan melarang kerajaan daripada membuat tender projek KVDT2 sementara menunggu perbicaraan semakan kehakiman Dhaya Maju-LTAT.
Sementara itu, Yeow berpendapat bahawa kontraktor berkenaan tidak sepatutnya menggunakan injunksi Erinford terhadap KTMB berhubung keputusan pengendali kereta api itu untuk membatalkan lesen menduduki tapak kerja di Klang.
“Apa yang mereka katakan adalah mereka ingin menduduki tapak kerja kami, tanpa membuat sebarang kerja penyelenggaraan dan menunggu kes itu didengar di mahkamah.
“Kes ini mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk mencapai keputusan,” katanya.