
CodeBlue hari ini berkata, Ketua Pengarangnya, Boo Su-Lyn dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang tadi.
“Boo bekerjasama dengan polis, tetapi menolak permintaan untuk menamakan sumber laporannya,” kata CodeBlue.

Portal itu berkata, ia difahamkan pihak pengurusan PPV itu sudah membuat aduan.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kebimbangan dan ketakutan awam, serta Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan rangkaian untuk menyampaikan kandungan palsu atau menyinggung perasaan.
Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya, serta denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
CodeBlue membidas siasatan polis itu sebagai satu bentuk gangguan dan intimidasi, serta Putrajaya tidak patut menyasarkan pemberi maklumat kerana memberikan maklumat yang kemudiannya disahkan pegawai.
“Sebaliknya, ia perlu belajar daripada kesilapan dan meningkatkan pelaksanaan langkah keselamatan perlu,” kata portal itu.
Artikel CodeBlue yang disiarkan 18 Julai lalu memetik sukarelawan tidak dinamakan di PPV itu. Menurut artikel itu, pengurusan pusat terbabit tidak memaklumkan sukarelawan mengenai empat kes Covid-19 dalam kalangan mereka dan tiada saringan besar-besaran dijalankan.
Dua sukarelawan yang dipetik sebagai berkata, mereka menjalani ujian saringan sendiri selepas mendapat tahu jangkitan berkenaan daripada pesakit itu sendiri.
Jangkitan itu disahkan sehari kemudian oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang berkata, tujuh petugas di PPV terbabit disahkan positif dan pihak pengurusan segera melakukan sanitasi di pusat berkenaan.
CodeBlue turut mengkritik sukarelawan di PPV itu dikehendaki menandatangani borang yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi, yang menghalang mereka daripada bercakap secara bebas kepada media.
“Ini menghalang ketelusan dan akauntabiliti awam, yang penting dalam respons kesihatan awam Covid-19 kerajaan, termasuk program vaksinasi.”