Catatan di FB mengenai pusat penahanan imigresen, aktivis didakwa esok

Catatan di FB mengenai pusat penahanan imigresen, aktivis didakwa esok

Pengasas Refuge for the Refugees Heidy Quah berkata, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia, esok.

Tahanan di depoh imigresen. Seorang aktivis akan didakwa esok kerana hantaran di Facebook mengenai keadaan di lokasi seperti itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Aktivis pelarian, Heidy Quah, akan didakwa di Mahkamah Siber, esok berhubung catatannya di Facebook mengenai keadaan di pusat penahanan imigresen, tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, pengasas NGO Refuge for the Refugees itu berkata beliau akan didakwa mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hantarannya di Facebook itu membutirkan pengalaman seorang bekas tahanan di pusat penahanan imigresen, dan diterbitkan ketika tindakan tegas kerajaan terhadap golongan migran turut menerima kritikan pada awal wabak Covid-19 melanda negara, tahun lalu.

Heidy ketika itu disoal selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Heidi Quah.

“Perkongsian saya di Facebook bertujuan mengetengahkan kebimbangan saya terhadap keadaan di pusat penahanan imigresen dan bahaya yang mungkin tercetus jika lebih ramai orang dihantar secara beramai-ramai ke lokasi seperti itu yang sememangnya diketahui sesak dan tidak bersih,” katanya, dengan menegaskan tetap berpegang pada apa dikongsikannya ketika itu.

Katanya, laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut seiring dengan pandangannya itu berhubung tahap kebersihan yang buruk di depoh tahanan, selain penderaan, pengabaian dan penganiayaan yang berlaku.

Beliau menyifatkan sebagai “malang dan mengecewakan” apabila sumber kerajaan digunakan untuk menyiasatnya sedangkan ia patut memfokuskan terhadap Parlimen, wabak dan rakyat.

“Walaupun tersentak dengan tuduhan ini, saya akan menghadapinya dengan berani esok. Saya tidak akan didiamkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.