Brendan Gan disahkan hidap kanser, sedang jalani rawatan pemulihan

Brendan Gan disahkan hidap kanser, sedang jalani rawatan pemulihan

Pemain tengah kebangsaan itu turut memaklumkan akan direhatkan dalam tempoh yang panjang pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kapten Selangor FC, Brendan Gan memaklumkan menghidap kanser testis dan sudah menjalani rawatan di laman Facebook dan Instagram rasminya hari ini. (Gambar Facebook Brendan Gan)
KUALA LUMPUR:
Kapten skuad Selangor FC, Brendan Gan mengesahkan beliau menghidap kanser testis dan sudah menjalani rawatan serta dalam fasa pemulihan.

Perkara itu dimaklumkan Brendan dalam hantaran di akaun Facebook dan Instagramnya hari ini.

Pemain tengah kebangsaan itu turut memaklumkan akan direhatkan dalam tempoh yang panjang pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Hidup saya sentiasa positif walaupun ada ketika agak kecewa dengan kritikan negatif tetapi saya sering menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk menguatkan karakter diri sendiri.

“Kini, saya berdepan ujian sekali lagi apabila disahkan mengalami kanser testis dan saya sudah pun melakukan pembedahan.

“Sekarang adalah fasa untuk saya menjalani proses pemulihan,” katanya.

Pengumuman Brendan itu sekaligus sekali gus menamatkan spekulasi ketiadaannya dalam skuad Gergasi Merah ketika seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi Liga Super minggu lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu memberitahu, berita berkenaan tidak akan mematahkan semangatnya malah beliau akan terus berusaha untuk kembali berada di padang bola sepak secepat mungkin.

Katanya, beliau bertuah kerana dikelilingi individu yang sentiasa memberikan sokongan khususnya keluarga, rakan-rakan terdekat dan komuniti bola sepak tempatan.

“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya sebaliknya akan lebih bermotivasi dalam usaha kembali ke padang bola sepak memimpin pasukan Selangor secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Selangor FC turut mengesahkan keadaan terkini kapten skuad itu.

Selangor FC memaklumkan, Brendan telah berjaya menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan.

“Walaupun diuji, Brendan tetap optimis dan kuat. Semoga kita semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada beliau sepanjang tempoh pemulihannya.

“Brendan tekad untuk kembali pulih secepat mungkin dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan.

“Seluruh warga SFC mendoakan agar Brendan cepat sembuh dan memohon semua penyokong untuk mendoakan yang terbaik buat beliau,” kata kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi Selangor FC hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.