Rekod seminggu Covid-19 – kematian, jangkitan, vaksin

Rekod seminggu Covid-19 – kematian, jangkitan, vaksin

Kes Covid-19 melepasi rekod tertinggi dan melepasi angka 15,000 sebanyak dua kali minggu lalu dengan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 90,542 dilaporkan antara 18 Julai hingga 24 Julai.

Terdapat peningkatan jangkitan di kebanyakan negeri minggu lalu ketika negara diberi amaran mengenai kemunculan varian Delta akan menjadi dominan.
PETALING JAYA:
Biarpun jumlah vaksin harian mencapai rekod tertinggi dengan 507,050 dos pada Khamis lalu, namun ia dibayangi dengan rekod 199 kematian sehari dan 15,902 kes Covid-19.

Angka korban yang tinggi menjadi kebimbangan utama ketika Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menyiarkan data mengenai umur bagi setiap kes kematian yang direkodkan itu.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang berusia sekitar 40an dan 50an kini mula memenuhi katil di unit rawatan rapi (ICU).

Kes Covid-19 melepasi rekod tertinggi dan melepasi angka 15,000 sebanyak dua kali minggu lalu dengan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 90,542 yang dilaporkan antara 18 Julai dan 24 Julai.

Kini, jumlah jangkitan keseluruhan adalah 996,393 kes.

Sementara itu, sebanyak 1,036 kematian dilaporkan sejak minggu lalu, menjadikan jumlahnya kini sebanyak 7,906 kes.

Kes sembuh pula adalah sebanyak 55,687, yang menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 42,068 pada minggu sebelum ini dan kes aktif yang masih dirawat pula adalah sebanyak 153,633.

Minggu ini juga terdapat 185 kluster baharu Covid-19 dikesan, sementara kadar kebolehjangkitan (R0) menunjukkan penurunan daripada 1.15 pada awal minggu, kepada 1.11 pada Jumaat lalu.

Sehingga 23 Julai, terdapat lebih 16 juta dos vaksin dengan 5 juta orang yang menerima suntikan vaksin lengkap.

FMT meninjau beberapa tajuk utama laporan berhubung Covid-19 sejak minggu lalu.

Kes suntikan kosong

Awal minggu lalu, tular satu video seorang petugas kesihatan dilihat tidak menyuntik vaksin ke dalam lengan penerima. Kes itu kemudiannya dilaporkan berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani dan tindakan tatatertib sudah pun diambil terhadap petugas terbabit.

Polis turut menyiasat dua lagi dakwaan suntikan kosong walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata hanya terdapat sebilangan kecil laporan polis yang dibuat.

Bagaimanapun, Khairy berkata penerima vaksin dibenarkan untuk mengambil gambar dan merakam video ketika proses itu dilakukan. Sebelum ini, terdapat PPV yang tidak membenarkan penerima suntikan mengambil gambar dan video mereka.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata mereka yang terbukti menerima “suntikan” kosong, akan diberi suntikan baharu manakala timbalannya Dr Noor Azmi Ghazali berkata keletihan mungkin menjadi punca timbulnya kes seperti ini.

Kes meningkat di negeri yang beralih ke Fasa 2

Terdapat peningkatan kes Covid-19 di beberapa negeri yang beralih ke Fasa Kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu lalu, dan ia melepasi nilai ambang sebelumnya yang ditetapkan ketika melakukan peralihan dari Fasa Pertama.

Ini termasuk di Pulau Pinang yang menyaksikan purata kes sekitar 421 sehari, yang melepasi nilai ambang purata 217 kes Covid-19 setiap hari untuk beralih kepada Fasa Kedua.

Beberapa negeri lain yang berada di bawah Fasa Kedua juga menunjukkan peningkatan kes seperti Sabah dengan bilangan kes purata tujuh hari sebanyak 596, Terengganu (216), Pahang (408), Perak (352), Sarawak (362) dan Kelantan (285).

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sebelum ini berkata negeri yang sudah berada di Fasa Kedua tidak akan berpatah balik ke Fasa Pertama dan lonjakan kes akan ditangani menerusi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bersasar.

Lebih 100 kes baharu membabitkan varian Delta dalam tempoh 10 hari lalu

Jumaat lalu, Hisham berkata KKM mengesan 106 kes baharu membabitkan varian Delta dalam tempoh antara 12 dan 22 Julai yang menjadikan kes keseluruhan varian itu adalah sebanyak 189 kes.

Sebelum ini, beliau memberi amaran bahawa varian itu boleh menjangkiti orang lain dalam tempoh 15 saat sahaja dan menjadi varian yang dominan di Malaysia selepas dikesan di seluruh negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu lalu turut memberi amaran, varian itu dijangka menjadi strain yang dominan dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas dikesan di lebih 100 negara.

Kelaziman varian itu menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan suntikan vaksin Sinovac walaupun Sinovac Biotech Ltd menegaskan bahawa suntikan dua dos vaksin mereka adalah berkesan bagi melawan strain terbabit.

Lebih 800 kes bukan Covid-19 akan dipindah ke hospital swasta

Media pada Rabu melaporkan terdapat lebih 800 pesakit bukan Covid-19 dipindahkan keluar dari hospital kerajaan ke pusat perubatan swasta bagi memberi ruang kepada pesakit Covid-19 dirawat di situ.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh berkata terdapat lebih 38 hospital di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Walaupun beberapa prosedur rawatan dan pembedahan di hospital kerajaan di Lembah Klang sudah dirujuk ke hospital swasta sebelum ini namun beliau berkata ia dilakukan adalah berdasarkan kes terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.