
Pengarah Zon Maritim Miri Md Fauzi Othman berkata semua mereka yang meloloskan diri melalui tingkap tandas lokap tersebut ditahan pada 11 malam di sekitar kawasan semak berhampiran muara Sungai Miri.
Beliau berkata semua nelayan itu antara 13 nelayan Vietnam yang ditahan pada 28 Jun lepas atas kesalahan menceroboh perairan, menangkap ikan tanpa permit serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Lokasi persembunyian mereka dikesan ekoran pergerakan sebuah kenderaan mencurigakan memasuki kawasan loji kumbahan berhampiran muara Sungai Miri dan meletakkan bungkusan disyaki makanan sebelum keluar meninggalkan lokasi.
“Tidak lama selepas itu, muncul lima individu dari arah pantai menyelinap masuk ke semak berhampiran pantai tersebut. Intipan mendapati bungkusan disyaki makanan tersebut telah hilang dengan dipercayai telah diambil oleh kesemua individu itu,” katanya dalam kenyataan.
Md Fauzi berkata susulan itu, pihak penguat kuasa bertindak mengepung kawasan tersebut dan menyerbu semua lima nelayan itu.
“Semua mereka berjaya diberkas semula selepas seorang daripada mereka menyerah diri, dipercayai akibat keletihan dan kelaparan.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Batu Niah untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut manakala dalang dipercayai bersubahat dan memberi bantuan makanan kepada mereka kini diburu bagi membantu siasatan,” katanya.