
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam tempoh sama, seramai 7,468 individu ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.
Katanya, 20 pengedar dadah berusia 25 hingga 45 tahun turut diberkas dalam satu operasi khas serentak di seluruh Johor sejak 16 hingga 22 Julai lalu. Mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
“Kesemua individu ini adalah penjenayah dadah besar, iaitu tokan (pengedar) yang mana mereka terbabit dalam kes pengedaran dadah bernilai RM20,000 sehingga RM150,000,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua individu itu di bawah tahanan polis selama 60 hari bermula 16 Julai lepas dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan perintah tahanan di mana-mana pusat pemulihan akhlak selama dua tahun di bawah Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, atau perintah sekatan dua tahun dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Bagi menangani isu penagihan dadah pula, katanya, polis menggunakan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ia dilihat paling berkesan menangani isu itu.
“Kebiasaannya, penagih tegar yang banyak kali ditangkap akan keluar masuk pemulihan dan banyak terlibat dalam kes ragut, pecah rumah dan sebagainya.
“Jadi, kalau kita guna Seksyen 39C ini, kita dapat keluarkan mereka daripada berada dalam masyarakat dan dikenakan hukuman lebih berat, iaitu lima sehingga tujuh tahun penjara atau tiga sehingga lima sebatan.”
Dalam kes berasingan, Ayob Khan berkata, pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah melalui penahanan empat lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 61 tahun dalam enam serbuan di Johor Bahru pada 18 Julai lalu.
Katanya, serbuan bermula 2.40 petang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM2 juta yang terdiri daripada 32.97kg serbuk ekstasi, 1,582 biji pil ekstasi, 1,330 bijil pil erimin 5, 375g ketamin dan 114g syabu.
“Nilai rampasan keseluruhan dadah bernilai RM2.07 juta, di mana semua dadah itu boleh digunakan 113,324 penagih.”