
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo berkata, helikopter berkenaan dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS).
Katanya, siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas pada 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh dan kembali ke Subang pada jam 11.02 pagi, seperti yang difailkan dalam pelan penerbangan.
“CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs) selain semakan sama ada pengendali dan kru helikopter melaksanakan operasi penerbangan dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan mengenai sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh semalam, untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja kerana melanggar SOP larangan merentas daerah serta negeri.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.
Semalam, FMT melaporkan pemilik gerai di sebalik tempahan 36 bungkus “nasi ganja” yang diterbangkan ke Kuala Lumpur menggunakan helikopter, masih terkejut dengan tempahan luar biasa itu yang diterimanya Khamis lalu..
Mohamed Nihmathullah Syed Mustafa, 57, hanya mempercayai tempahan itu “serius” hari ini apabila mendapat panggilan untuk menghantar 36 bungkus nasi kandar istimewa itu ke sebuah helikopter merah yang sudah mendarat di Padang Ipoh, di pusat bandar raya ini.
Dalam pada itu, Chester berkata CAAM menegaskan semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), ‘Chapter 3.1. Protection of Persons and Property’ serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan.
Katanya, CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam.