
Dalam kenyataan, Polis Dang Wangi berkata orang ramai tidak patut terpengaruh dengan ajakan atau seruan pihak tertentu untuk berhimpun di ibu negara.
“PKP (perintah kawalan pergerakan) masih lagi berkuat kuasa dan sebarang perhimpunan dan aktiviti sosial adalah dilarang sama sekali,” kata kenyataan itu.
Katanya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan, termasuk mengenakan kompaun.
Sabtu lalu, 20 penunjuk perasaan berpakaian serba hitam menganjurkan bantahan berskala kecil di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Kumpulan digelar Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) itu membuat bantahan terhadap kerajaan kerana didakwa gagal menangani Covid-19.
Kumpulan itu juga di sebalik protes dalam talian #Lawan yang memaparkan bendera hitam di media sosial.
Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata SSR adalah gabungan parti politik khususnya MUDA, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amanah dan PKR.
Ketika di Dataran Merdeka, penunjuk perasaan itu turut membawa patung berupa mayat simbolik jumlah kematian kes bunuh diri akibat wabak, selain 14 bendera hitam untuk menggambarkan kemarahan rakyat di seluruh negara.
Tuntutan mereka termasuk desakan supaya perdana menteri meletak jawatan, sesi persidangan penuh Parlimen diadakan, selain moratorium automatik untuk semua.
Hari ini negara merekodkan jumlah tertinggi jangkitan Covid-19 dengan 15,573 kes.