
Katanya, mereka bukan sahaja berisiko jatuh lebih miskin, malah turut berdepan rintangan dalam pendaftaran vaksinasi atas sebab kekurangan atau ketiadaan dokumen.
Ramai individu tidak bernegara yang lahir sebelum Merdeka dan memegang kad pengenalan merah diberi keutamaan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Maalini.
Bagaimanapun, pendaftaran bagi mereka di bawah usia 60 tahun masih menjadi masalah besar.

“Dari segi cabaran (yang dihadapi), ramai yang tiada dokumen. Pendaftaran kelahiran mereka tidak dibuat atas pelbagai sebab, (sama ada) mereka tiada ibu bapa, tidak tahu bagaimana untuk mendaftar atau tiada dokumen untuk membuktikan mereka warganegara,” katanya.
Beliau berkata, ketika Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memindahkan operasinya ke dalam talian, proses rayuan kewarganegaraan tertangguh lagi.
Individu tidak bernegara di Sabah terutamanya akan terjejas kerana mereka tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan asas yang diperlukan untuk mendaftar dengan MySejahtera.
Katanya, DHRRA berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu golongan ini mendapat akses kepada PICK.
Implikasi ekonomi
Sebelum wabak melanda lagi, golongan tidak bernegara kekurangan dari segi ekonomi dan situasi mereka bertambah buruk dengan sekatan pergerakan yang berlarutan, kata Maalini.
Sebagai contoh, individu yang mempunyai sebarang bentuk dokumen dan bekerja melaporkan mereka menghadapi masalah ketika melalui sekatan jalan raya dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Mereka diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri dan surat kebenaran. Sekalipun mereka ada surat kebenaran, majikan akan dipanggil dan ditanya mengapa pekerjanya tiada dokumen pengenalan diri yang sempurna,” kata Maalini.
“Ini menjadikan mereka liabiliti buat majikan dan syarikat yang turut berdepan masalah aliran tunai. Ada antara mereka kehilangan pekerjaan kerana majikan berasa lebih baik untuk tidak mengupah pekerja tidak bernegara pada masa ini.”
Bantuan kebajikan
Maalini berkata, golongan tidak bernegara juga ketinggalan dalam pelbagai pakej rangsangan dan kebajikan yang diumumkan kerajaan sejak setahun lalu.
“Bagi individu tidak bernegara dalam hal mendapatkan kelulusan (untuk bantuan), kadar penolakannya tinggi.
“Kami juga tiada komunikasi dengan JPN atau Kementerian Dalam Negeri berhubung pindaan dasar semasa sekatan pergerakan penuh, jadi semua (urusan) menjadi lembab,” katanya.
Maalini berkata, kerajaan sudi memberi vaksin kepada semua penduduk di negara ini, namun mengutamakan warganegara bagi bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.
Malangnya golongan ini tidak mendapat sokongan sesiapa, katanya.
Beliau mencadangkan sistem pengurusan bencana titik tunggal dengan kerajaan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan bantuan yang inklusif, tanpa mengira status kewarganegaraan.
Pada masa ini katanya, individu dan NGO swasta bergerak secara dalam silo, iaitu bekerja dalam komuniti masing-masing dan ini mengakibatkan berlaku pengulangan dan pertindihan dalam pemberian bantuan.
“NGO sudi bekerjasama dengan kerajaan dan kami ingin menyumbang ke arah kewujudan sistem dan pangkalan data yang diselaraskan,” kata Maalini.
DHRRA ketika ini sedang mencari sumbangan untuk membantu golongan ini.
“Individu tidak bernegara dilahirkan di negara ini atau diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa rakyat Malaysia. Keluarga warga tempatan turut terjejas oleh (situasi dihadapi) golongan ini dalam keluarga mereka,” katanya.
Maalini bimbang sekatan pergerakan yang berlarutan di bawah Pelan Pemulihan Negara akan menyebabkan lebih banyak kehamilan dalam keluarga atau pasangan yang tinggal bersama untuk jangka masa yang panjang.
“Sebilangan bayi mungkin dilahirkan dengan status ‘tidak bernegara’ kerana undang-undang sedia ada menafikan kewarganegaraan bagi bayi yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia dan pasangan asing mereka atau anak luar nikah kepada bapa rakyat Malaysia.”