
Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian berkenaan terbongkar jam 6.30 petang semalam selepas majikan pekerja warga Bangladesh itu mengesyaki berlaku sesuatu kepada mangsa yang sudah lama tidak kelihatan.
“Ketiadaan mangsa lelaki berusia 30 tahun di tempat kerja dalam tempoh lama menimbulkan tanda tanda majikannya yang kemudian telah bertanya lebih lanjut kepada suspek,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, suspek kemudiannya cuba melarikan diri, namun lelaki berusia 29 tahun itu berjaya ditahan majikannya yang kemudian membuat laporan polis.
Said berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek yang tinggal bersama mangsa mengaku telah membunuh rakannya itu sebelum menanam mayatnya di tempat tinggal mereka, iaitu di rumah kongsi di tapak pembinaan terbabit.
Tambah beliau, punca pergaduhan antara suspek dan mangsa yang tinggal bersama sejak sebulan lalu adalah kerana perselisihan faham.
“Suspek dikatakan telah memukul mangsa menggunakan kayu sebelum menanam mayatnya di kawasan tempat tinggal mereka dan suspek juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa,” katanya.
Kata beliau, suspek kini ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.