Kariah patuh SOP solat Aidiladha, warga asing yang degil, kata Timbalan Ketua Menteri P Pinang

Kariah patuh SOP solat Aidiladha, warga asing yang degil, kata Timbalan Ketua Menteri P Pinang

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata pengerusi kariah juga sudah memberi dua kali peringatan mengenai SOP terkini yang dikeluarkan iaitu pada malam sebelumnya dan sebelum solat sunat berjemaah ditunaikan.

PETALING JAYA:
Pihak kariah Taman Pelangi, Juru didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi solat sunat Aidiladha, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, pengerusi kariah juga telah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan, iaitu pada malam sebelumnya dan sebelum solat sunat berjemaah ditunaikan.

“Setelah diteliti, pihak kariah mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan, iaitu hanya 100 orang jemaah yang terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan menunaikan solat Aidiladha pada pagi Selasa lalu.

“Pengerusi kariah juga menekankan bahawa warga asing tidak dibenarkan menunaikan solat Aidiladha,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun kata Zakiyuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), kumpulan warga asing masih berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau untuk turut sama mengikuti solat Aidiladha yang sedang berlangsung.

“Ia jelas di luar kawalan pihak kariah kerana pihak jawatankuasa kariah telah pun mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum solat dimulakan,” katanya.

Beliau berkata, insiden itu diharapkan menjadi peringatan kepada semua, khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan susulan penguatkuasaan undang-undang dan dengan pantas mengenal pasti dan menahan individu yang sewenang-wenangnya melanggar SOP ini.”

Pada Selasa, video sekumpulan lelaki yang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya di kawasan perumahan berkenaan bermula 8.30 hingga 9 pagi tular di media sosial.

Susulan penularan video berkenaan, seramai 48 warga asing, berusia 20 hingga 43 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun direman bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar SOP dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.