‘Awak yang tak pandai menari, dikata lantai berjongket,’ Pemuda PN sangkal tuduhan Syed Saddiq

‘Awak yang tak pandai menari, dikata lantai berjongket,’ Pemuda PN sangkal tuduhan Syed Saddiq

Ketua Pemuda PN Khairil Nizam Khirudin berkata, tuduhan tidak berasas itu jelas mempunyai agenda tersendiri.

Ketua Pemuda PN Khairil Nizam Khirudin menyangkal tuduhan Syed Saddiq sekali gus mendakwa Ahli Parlimen Muar itu punya agenda tersendiri.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Khairil Nizam Khirudin menyifatkan dakwaan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bahawa beliau diheret ke mahkamah kerana enggan menyertai kerajaan memerintah sebagai tuduhan liar dan tidak matang.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, tuduhan tidak berasas itu jelas mempunyai agenda tersendiri.

“Umpama pepatah Melayu, awak yang tidak pandai menari, dikatakan lantai yang berjongket,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan, iaitu menyelewengkan wang RM1 juta dikatakan milik Pemuda Bersatu dan dana pilihan raya dikatakan milik sayap itu sebanyak RM120,000.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Semalam, dalam ciapan di Twitter, Syed Saddiq menulis beliau rela ke mahkamah daripada menyertai PN, selain mendakwa sudah lebih setahun diugut akan diheret ke mahkamah jika tidak bersama gabungan pemerintah itu.

“Setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan sebegini akan datang. Pada Julai, Disember, Januari dan sekarang seminggu sebelum Parlimen bermula,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Dalam pada itu, Pemuda PN berkata, mereka yakin dengan ketelusan dan integriti institusi kehakiman dalam menguruskan kes berkenaan.

“Pemuda PN sentiasa berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang dan seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Ia adalah medan terbaik untuk tertuduh mendapat keadilan, membukti diri tidak bersalah dan membersihkan nama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.