
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, susulan laporan seperti itu, ramai kini mempertikaikan sama ada mereka benar-benar telah disuntik vaksin seterusnya dilindungi daripada jangkitan teruk Covid-19.
Selain itu, katanya, golongan yang tidak disuntik vaksin dengan betul juga dalam keadaan “bahaya” kerana kini menjalani kehidupan seharian dengan menyangka mereka telah diinokulasi.
“Jawatankuasa vaksin mesti menangani pelanggaran etika dan kepercayaan awam ini,” katanya di Facebook.
Beliau turut menyoal berapa kes seperti itu yang mungkin tidak dikesan, kerana tidak ramai yang sanggup melihat jarum disuntik ke badan sendiri.
Menyoal sama ada wujud penipuan, Rafidah menggesa jawatankuasa itu mengambil tindakan tegas dan menghalang kejadian seperti itu, selain menyiasat sejauh mana berlaku.
“Perkara ini melibatkan jutaan vaksinasi.”
Bekas setiausaha agung MIC S Murugesan turut menyuarakan pandangan sama dengan menganggap kontroversi itu sesuatu yang “tidak boleh dimaafkan” kerana bukan saja meletakkan individu terlibat dalam bahaya, malah merisikokan keluarga mereka.
Beliau berkata, memandangkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan gagal berkesan, vaksinasi satu-satunya kaedah ke arah masyarakat selamat dan pulih.
Murugesan berkata, kejadian seperti itu juga akan meleraikan usaha keras ribuan pekerja kesihatan yang begitu berdedikasi selama ini, selain berbilion ringgit yang dibelanjakan.
“Ini bukan sekadar melibatkan isu membenarkan ‘mangsa’ mendapat satu lagi suntikan,” katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan bahawa mereka yang dapat membuktikan mereka disuntik picagari kosong boleh diberi suntikan baharu.
Katanya, tidak cukup untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja kesihatan yang gagal menyuntik dos sepatutnya bagi penerima vaksin di pusat vaksinasi Kedah.
“Lakukan siasatan jenayah, dan jika ada alasan kukuh untuk pendakwaan, dakwalah mereka bawah peruntukan undang-undang yang paling tegas.”
Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali tidak menolak kemungkinan keletihan dalam kalangan petugas punca berlakunya kes picagari kosong ketika pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima.