Pejuang hadir sidang Parlimen, tapi akan ‘angkat kaki’ jika tiada manfaat, kata Dr M

Pejuang hadir sidang Parlimen, tapi akan ‘angkat kaki’ jika tiada manfaat, kata Dr M

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memutuskan untuk Ahli Parlimennya hadir ke sidang Parlimen akan datang.

PETALING JAYA:
Pejuang memutuskan Ahli Parlimennya akan hadir sidang Parlimen pada 26 Julai ini, tetapi bersedia memulaukannya jika mendapati ia sekadar “pemberian taklimat”.

“Kami memutuskan untuk hadir, tetapi kalau kami rasa ini hanya satu taklimat, kami akan putuskan untuk tinggalkan sidang atau perjumpaan itu,” kata pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyifatkan bahawa sidang Parlimen itu hanyalah satu “perjumpaan” untuk menjelaskan kepada wakil rakyat berkenaan mengenai tindakan kerajaan, yang menurut beliau, jelas bercanggah dengan undang-undang.

“Pada mulanya mereka ingin mengesahkan pengisytiharan darurat, kenapa (baharu dibuat) sekarang? Pengisytiharan perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum ia diluluskan.

“Namun, kita dikehendaki menerima pengisytiharan darurat ini seolah-olah telah disahkan lebih awal, jadi ini satu perkara yang tidak betul dari segi undang-undang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Pejuang akan mengambil “tindakan yang sewajarnya” berhubung tindakan terhadap pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan PN bawah pimpinan Muhyiddin Yassin berkenaan sidang Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, Mahathir tidak menghuraikan bentuk tindakan yang bakal diambil.

Menurutnya, sesi khas Parlimen itu adalah sekadar untuk mengaburi mata rakyat bagi menampakkan pihak kerajaan menepati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengadakan parlimen secepat mungkin.

“Ini menunjukkan jelas bahawa kerajaan tidak ikhlas, dia tahu bahawa ini bukan persidangan Dewan Rakyat tetapi cuba untuk menunjukan kononnya ini adalah persidangan Dewan Rakyat mengikut titah Agong.

“Pihak parti Pejuang menganggap ini adalah satu pembohongan dan kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” tegasnya.

Mahathir sebelum ini berkata Ahli Parlimen parti itu mungkin memulaukan sidang Dewan Rakyat sekiranya sesi pembentangan usul dan perbahasan tidak dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.