Kadar kebolehjangkitan Covid-19 turun 5 hari berturut-turut

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 turun 5 hari berturut-turut

Menurut data dikongsikan Dr Noor Hisham Abdullah, kadar kebolehjangkitan menunjukkan penurunan sejak Khamis lalu yang mencatatkan nilai Ro pada 1.20.

PETALING JAYA:
Kadar kebolehjangkitan (R0) Covid-19 untuk seluruh negara menunjukkan trend penurunan masuk hari kelima berturut-turut dengan nilai 1.12 direkodkan semalam.

Menurut data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter, kadar kebolehjangkitan turun sejak Khamis lalu yang mencatatkan nilai R0 pada 1.20.

Kali terakhir nilai R0 di bawah 1.0 adalah pada 7 April, manakala kadar tertinggi 1.21 dicatatkan 23 Mei lalu.

Bagaimanapun, 10 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan dengan Terengganu mendahului pada 1.31.

Ia diikuti Sabah (1.25), Kedah (1.23), Pulau Pinang (1.22), Johor (1.20), Putrajaya (1.19), Selangor (1.15), Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing (1.14), Perak (1.13) dan Melaka (1.12).

Tiga negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan di bawah 1.0, iaitu Labuan (0.75), Sarawak (0.95) dan Perlis yang merekodkan hanya dua kes sahaja.

Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 13 Jan lalu ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Nilai R0 merujuk tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti daripada satu kes positif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.