Dinesh Raja Kumar yang bercita-cita menjadi seorang artis disahkan menghidap kanser paru-paru pada 2019.
Dia mendakwa ahli perniagaan terbabit, Michael (bukan nama sebenar) berjanji untuk membantunya mencipta nama dalam industri hiburan.
Katanya, lelaki terbabit juga meminjam wang daripadanya yang lama-kelamaan mencecah sehingga RM91,017.55
Dinesh, 35, berkata, dia mengenali Michael, 50, pada 2018 melalui Facebook dan terpesona dengan kehidupan mewahnya sebagai ahli perniagaan.
Selepas berbual di media sosial, mereka bertemu buat pertama kali pada Disember 2020 dan ketika itu Michael memujuknya untuk meminjamkan wang sebanyak RM3,000.
Dinesh mendakwa dia meminjamkan wang kepada lelaki terbabit sebanyak 25 kali dan yang terbaru adalah pada Mac lalu.
Katanya, wang itu terdiri daripada simpanannya, pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rawatan kanser, wang tunai segera daripada kad kredit serta wang pajakan barangan kemas seperti cincin pemberian ibunya.
“Saya teruja ketika bertemunya kerana menurutnya dia boleh menjadi penerbit saya,” kata Dinesh kepada FMT.
“Saya boleh menjadi pelawak, menyanyi dan menari. Dia berjanji untuk menjadikan saya seorang bintang.
“Tetapi dia sering meminta saya meminjamkan wang dengan alasan dia ditipu dalam urusan perniagaan. Setiap kali juga dia berjanji akan membayarnya semula.”
Dinesh mendakwa lelaki terbabit masih gagal membayar semula wangnya selepas beberapa kali diminta berbuat demikian.
Dia kemudiannya mendedahkan kes itu di media sosial pada Mac lalu dan membuat sembilan laporan polis.
“Saya tidak dapat menjalani rawatan kanser dan amat memerlukan wang itu.”
Dia mendakwa peguam Michael menghantarnya sepucuk surat supaya dia berhenti mengganggu anak guamnya selain mengatakan satu laporan polis turut dibuat terhadap Dinesh.
Ketika dihubungi FMT, peguam terbabit menjelaskan isunya adalah berkenaan perkara sivil antara kedua-duanya dan dia enggan mengulas lanjut atas tuduhan dibuat oleh Dinesh.
Manakala, Michael memberitahu FMT dia sememangnya berniat untuk membayar semula wang yang dipinjam sebelum melihat tuduhan yang dilemparkan terhadapnya di Facebook.
“Saya tidak menafikan pernah meminjam wang sebanyak RM91,000 daripadanya. Saya tidak pernah mengatakan tidak akan membayarnya, jadi mengapa dia melakukan perkara ini kepada saya?” soalnya.
Katanya, dia sudah memulangkan wang sebanyak RM550 kepada Dinesh.
“Saya sudah mengarahkan peguam menyamannya. Saya tidak suka melakukan perkara ini, tetapi saya tiada pilihan,” katanya yang berkata, Dinesh “menyeksanya” dan keluarga kerana sering menghubunginya berkali-kali untuk meminta wang.