
Kritikan Ahli Parlimen Parti Buruh, Bill Esterson, itu disiarkan semula dalam laporan portal akhbar Independent.
Menurut laporan itu, Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial UK (DHSC) setakat ini membeli lebih 760 juta sarung tangan dari pengeluar Malaysia sejak Januari 2020.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, yang memberi amaran kepada kerajaannya Jun lalu berhubung kebimbangan dalam industri sarung tangan getah, kini meminta organisasi tampil dengan rancangan membasmi buruh hamba dalam sektor pembuatan Malaysia.
Menurut laporan itu, Esterson, yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa bayangan, menulis surat kepada Menteri Perdagangan, Greg Hands, dengan menyifatkan isu itu sebagai “skandal”.
“Oleh itu, kita menghadapi keadaan luar biasa apabila DHSC membiayai kilang-kilang yang menyebabkan skandal ini, Pejabat Luar Negeri kini membiayai projek untuk menangani skandal ini, dan Jabatan Perdagangan berada di tengah-tengah, nampaknya masih tidak menyedari kewujudan skandal ini.”
Beliau berkata, partinya mahu Britain melakukan audit penuh ke atas pembekal sarung tangan getah ke UK untuk menentukan berapa banyak kilang yang menggunakan buruh hamba.
Katanya, pendekatan “semberono” kerajaan terhadap perdagangan bebas bermakna ia “mencuci” tangan orang yang dilayan seperti hamba, sambil memeterai perjanjian perdagangan dengan negara yang mempunyai “rekod prestasi buruk” dalam menindas dan mengeksploitasi pekerja.
Jurucakap Jabatan Perdagangan Antarabangsa memberitahu portal itu, ia mengambil serius semua dakwaan perhambaan dan mengharapkan semua pembekal Sistem Kesihatan Negara mematuhi piawaian undang-undang dan etika tertinggi.
Menurut laporan itu, penyelidikan yang diterbitkan Universiti Newcastle awal bulan ini mendedahkan keadaan buruh di kilang sarung tangan getah Malaysia bertambah buruk ketika pandemik.
Mac lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat merampas hampir empat juta sarung tangan dari Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar dunia, susulan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pembuatan.