Beliau berkata, Malaysia terpaksa ‘membayar harga yang mahal’ kerana mengabaikan meritokrasi sejak beberapa dekad lalu.
“Kita berada dalam krisis yang tidak pernah berlaku pada hari ini, dan apa yang kita masih dilihat dalam berita? Kuasa politik agama, bangsa, perkara yang kita lihat pada 1980an, ia tidak akan menyelamatkan kita daripada isu yang lebih besar dihadapi sekarang,” katanya kepada FMT.
Zaid berkata ia amat menyedihkan apabila negara tidak pernah belajar daripada kegagalan terdahulu.
Beliau berkata, label ‘Kerajaan Gagal’ yang dilemparkan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di media sosial ketika ini, menggambarkan kekurangan bakat di peringkat tertinggi yang berpunca daripada promosi berterusan terhadap dasar dan amalan seterusnya menggalakkan satu kualiti yang biasa.
“Malah, ketika pandemik pun kita masih melihat beberapa kumpulan membuat tuntutan berdasarkan kaum, kita masih lihat pelantikan bermotifkan politik yang tidak memberi nilai tambah kepada negara,” katanya.
Bulan lalu, dua kumpulan perubatan mencadangkan supaya pengambilan baharu graduan perubatan dikaji semula bagi memastikan graduan Bumiputera boleh berkhidmat secara tetap di Kementerian Kesihatan.
Mengenai pelantikan bermotifkan politik, Zaid berkata terdapat ramai menteri dan timbalan menteri menyertai sebuah kabinet yang terlampau besar yang dilantik bukan berdasarkan kepakaran tetapi demi kepentingan politik.
Katanya, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia mengubah pandangan, bukan hanya kerajaan sahaja.
“Meritokrasi adalah sesuatu yang masuk akal, kita perlu memilih individu terbaik untuk memikul tugas tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan politik. Kita tidak boleh lagi terikat dengan ketidakcekapan.”
Zaid berkata Malaysia juga ketinggalan di belakang beberapa negara jirannya dan Covid-19 hanya akan meningkatkan lagi jurang itu.
“Meritokrasi mesti menjadi kuasa pemacu untuk negara ini. Malah, bagi saya, golongan yang paling rugi daripada kekurangan meritokrasi ini adalah Melayu kerana ia menghalang mereka mendapat manfaat daripada dasar yang mempromosikan kecemerlangan.”
Beliau berkata, sebelum ini, beberapa individu yang menjuarai kaum Melayu dipilih untuk membantu masyarakat tetapi sukar untuk melakukannya disebabkan kurangnya pengetahuan dan integriti.
“Hasilnya, ramai orang Melayu yang sepatutnya dibantu, gagal sejak mula kerana diterajui oleh individu yang tidak cekap dan menjadi pilihan pemerintah elit,” katanya.