Fokus kes serius, bukan angka jangkitan, kata ahli virologi

Fokus kes serius, bukan angka jangkitan, kata ahli virologi

Pensyarah Monash University Malaysia Dr Vinod RMT Balasubramaniam berkata sudah tiba masanya untuk melakukan peralihan itu dengan mengandaikan bahawa semua orang disahkan positif Covid-19 sehingga dibuktikan sebaliknya.

Ahli virologi berkata fokus harus diberikan kepada peratusan kes positif, bilangan kes serius, pengambilan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti ICU serta angka kematian berbanding angka harian kes Covid-19.
GEORGE TOWN:
Seorang ahli virologi meminta supaya fokus diberikan terhadap peratusan kes positif, bilangan kes serius, pengambilan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti ICU serta angka kematian berbanding angka harian kes Covid-19.

Pensyarah Monash University Dr Vinod RMT Balasubramaniam berkata sudah tiba masanya untuk melakukan peralihan itu dengan mengandaikan bahawa semua orang disahkan positif Covid-19 sehingga dibuktikan sebaliknya.

Dia berkata andaian itu dibuat dengan mengambil kira kehadiran strain Delta yang lebih mudah menjangkiti orang lain.

Katanya, lebih baik membuat anggapan berdasarkan bilangan jangkitan harian lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan memandangkan kadar ujian menurun daripada purata 109,601 kepada 72,307 dua minggu lalu.

Dr Vinod RMT Balasubramaniam.

Bagaimanapun, kadar positif menunjukkan bilangan kes positif yang dikesan menerusi ujian dilakukan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kadar positif di semua negara perlu berada di bawah paras 5%.

Vinod yang juga pensyarah kanan Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan universiti itu, berkata kadar 9% bermaksud lebih banyak ujian perlu dilakukan sebagai petunjuk bahawa terdapat ramai lagi yang positif Covid-19 masih belum dikesan.

“Ini bermakna kita melihat kepada lebih ramai lagi orang yang belum dikesan, kes yang tidak dilaporkan dan apa yang kita ada sekarang tidak menggambarkan keseluruhan keadaan. Kita tidak harus mempercayainya dan menjangkakan kes positif akan meningkat tanpa mengira kadar vaksinasi.

“Virus sudah berasimilasi dalam komuniti kita. Kita perlu menganggap seperti semua orang disahkan positif sehingga dibuktikan sebaliknya. Ini adalah tanggapan yang perlu ditanam sekarang selain meneruskan ujian dan vaksinasi,” katanya.

Dia berkata Covid-19 berkemungkinan akan menjadi satu endemik seperti selesema dan perlu ditangani seperti itu pada masa akan datang.

“Memberi suntikan vaksinasi kepada semua orang mungkin tidak memberhentikan Covid-19 daripada terus tersebar pada tahap yang rendah tetapi kita nampaknya masih jauh daripada situasi itu. Virus ini tidak mungkin memberi kekebalan kepada anda seumur hidup, tetapi jika dijangkiti sekali lagi, jangkitan kedua adalah kurang serius. Suntikan secara tahunan mungkin diperlukan untuk golongan yang mudah terjejas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.