Dedah ‘jembalang’ pandu uji, Nini Siron ‘bayar harga mahal’ bongkar perbuatan MB Kedah

Dedah ‘jembalang’ pandu uji, Nini Siron ‘bayar harga mahal’ bongkar perbuatan MB Kedah

Serangan di media sosial menyebabkan keluarga wanita itu terjejas pendapatan apabila dia mendedahkan Menteri Besar Kedah memandu uji kereta bulan lalu.

Surirumah yang mengurus akaun Facebook milik suaminya dengan menjual kereta Honda, barangan perabot serta minyak wangi, mendakwa mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.
GEORGE TOWN:
Menteri Besar Kedah sudah dikompaun RM1,500 oleh pihak berkuasa dan kes itu dianggap selesai.

Namun, Nini Siron, 36, terus “membayar harga yang tinggi”, baik dari segi wang ringgit, mahu pun ketenteraman diri dan keluarga, sejak membongkar pembabitan Muhammad Sanusi Md Noor dalam kes pandu uji pacuan empat roda pada Jun lalu.

Sehingga kini, Nini masih “takut” untuk mengaktifkan semula akaun perniagaan Facebook (FB) yang diuruskan bersama suaminya untuk menjual kereta, barangan perabot dan minyak wangi. Beliau sekeluarga khuatir sekali lagi menjadi sasaran pembuli siber dan kalangan penyokong Sanusi seperti sebelum ini.

Ketika itu, Nini diasak saban hari di media sosial dan gambar keluarganya disebarkan secara meluas di FB sehingga memaksanya menyahaktif akaun perniagaan FB itu.

Sejak itu, sumber pendapatannya merudum. Nini dan suaminya terpaksa bergantung kepada wang simpanan yang semakin susut untuk kelangsungan hidup.

Nini berkata, selepas hampir dua bulan sejak insiden itu tercetus dan keadaan boleh dianggap “kembali reda” untuk membuka semula akaun FB itu, dia tetap bimbang diserang sekali lagi menerusi hantaran mesej sehingga menyebabkan pelanggan berpotensinya “lari.”

“Kami menjual kereta, menyediakan cukai jalan dan pembaharuan insurans. Kami berhubung dengan pelanggan menerusi akaun Facebook ini dan ia menjadi penyelamat ketika PKP.

“Walaupun menteri besar dikenakan denda selepas insiden itu, ramai penyokongnya (sekarang) mengkritik polis. Retorik terbaru yang disebarkan ialah menteri besar sebenarnya tidak memandu uji kereta dan polis membuat kesilapan,” katanya.

“Bayangkan (akibat) jika saya membuka kembali akaun dan dibuli serta gambar pelanggan disebarkan secara meluas seperti sebelum ini? Sehingga sekarang, tidak ada perkembangan mengenai aduan yang dibuat mengenai perbuatan buli siber ini,” katanya kepada FMT.

Nini tidak menyangka, tindakannya melaksanakan tanggungjawab sivik apabila melaporkan penglibatan Menteri Besar Kedah dalam kes memandu uji sebuah pikap berharga RM211,000 di Juru pada Jun lalu, akan mengundang kecaman, fitnah dan tohmahan berterusan daripada pembuli siber.

Beliau merakam kejadian itu dengan telefon bimbitnya dan memuatnaik di media sosial, selain mempersoalkan perlakuan Sanusi ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.

Susulan itu, Nini sekeluarga menjadi sasaran pembuli siber yang turut menyebarkan maklumat peribadi dan gambar anaknya berusia 8 tahun di media sosial.

“Media sosial saya dibanjiri dengan pesanan meminta saya ‘jangan buka aib orang’ dengan mendedahkan kejadian membabitkan menteri besar itu. Saya kata kepada mereka, sebagai menteri besar, anda harus menjaga aib sendiri.

“Niat saya adalah untuk membantu ummah yang sedang melawan pandemik covid-19. Ia seperti saya menunjukkan ada ‘jembalang’ di dalam sesebuah rumah.

“Saya tertanya-tanya mengapa suami (saya) terpaksa menjual kereta secara dalam talian tetapi kereta pikap boleh dipandu uji secara bebas apabila bilik pameran masih ditutup?” soalnya.

Nini berkata, dia membuat satu lagi laporan di Balai Polis Bukit Mertajam terhadap pihak yang mendedahkan maklumat peribadinya di media sosial.

Bagaimanapun, polis memintanya membuat aduan terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, dia belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai hasil siasatan aduan itu, baik daripada polis atau SKMM dan tetap gusar dengan kehadiran “aktif” penyokong menteri besar di media sosial.

Sanusi sebelum ini menafikan dia memandu kereta itu dan menjelaskan dia hanya membuat perjalanan singkat bersama jurujual kenderaan.

Baru-baru ini, Bukit Aman mendedahkan notis kompaun sudah dikeluarkan terhadap Sanusi kerana melanggar SOP.

Sanusi bersetuju menjelaskan denda dengan segera. Sebelum ini, beliau berkata insiden pandu uji itu berlaku “secara kebetulan” ketika beliau melakukan perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur.

Katanya, dia cuma berhenti untuk membeli “roti dan air” di sebuah kedai RM2 di Juru Auto City dan ternampak bilik pameran kereta Ford yang terletak bersebelahan sebelum berbual dengan jurujualnya.

Menurutnya, dia kemudian menerima tawaran jurujual untuk membuat perjalanan singkat dengan kenderaan itu sebelum bergerak ke Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.