Kecewa pecah masuk tiada hasil, lelaki bakar kaunter pejabat pos

Kecewa pecah masuk tiada hasil, lelaki bakar kaunter pejabat pos

Suspek yang juga pekerja kilang bagaimanapun diberkas polis di sebuah rumah di pekan Selandar, lima jam selepas lakukan jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Mohd Sukri Kaman berkata, laporan kejadian dibuat oleh Pengurus Cawangan Pos Malaysia itu 11 malam tadi.
PETALING JAYA:
Gagal mendapatkan barang berharga selepas memecah masuk sebuah pejabat pos, seorang lelaki membakar kaunter premis itu apabila kecewa penat lelahnya tidak berbaloi.

Kejadian berlaku di Pejabat Pos Selandar, Melaka kira-kira 11 malam tadi.

Bagaimanapun, suspek yang juga pekerja kilang berusia 43 tahun, berjaya diberkas polis di sebuah rumah di pekan Selandar, lima jam selepas melakukan jenayah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Mohd Sukri Kaman berkata, laporan polis mengenai kejadian telah dibuat oleh Pengurus Cawangan Pos Malaysia terbabit jam 11 malam tadi.

Beliau berkata, daripada laporan yang diterima, kejadian disedari berlaku pada 9.15 malam apabila pengadu menerima isyarat penggera di telefon bimbitnya dan ternampak kelibat orang dalam rakaman litar tertutup (CCTV) bangunan tersebut.

“Pengadu segera mendapatkan bantuan polis dan pemeriksaan di lokasi mendapati kerusi serta meja di bahagian kaunter perkhidmatan telah terbakar.

“Pasukan bomba turut dipanggil ke lokasi untuk mengawal kebakaran,” katanya menurut laporan Kosmo.

Sukri berkata, siasatan lanjut di lokasi juga menemui kesan pecah masuk dengan cermin dan jeriji tingkap belakang bangunan itu diumpil serta pagar di bahagian belakang dipotong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.