Dewan Negara tumpu darurat, tak timbul isu luar dugaan, kata Rais

Dewan Negara tumpu darurat, tak timbul isu luar dugaan, kata Rais

Rais Yatim berkata sebarang persoalan, penjelasan atau hak penerangan yang dikemukakan oleh ahli Dewan Negara akan dipertimbangkan mengikut kerelevanannya.

Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim, menjelaskan persidangan khas itu adalah di luar kuat kuasa tempoh darurat dan Peraturan Mesyuarat biasa akan dikuatkuasakan dalam menjalankan prosedur persidangan sepanjang persidangan tersebut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Ogos ini akan memberi tumpuan kepada urusan penerangan serta pembentangan Proklamasi Darurat dan tidak timbul isu usul di luar dugaan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim, berkata sebarang persoalan, penjelasan atau hak penerangan yang dikemukakan oleh ahli Dewan Negara akan dipertimbangkan mengikut kerelevanannya.

“Urusan-urusan yang telah ditetapkan adalah membentangkan Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat itu mengikut Perkara 150 (3), Perlembagaan Persekutuan, membentangkan Proklamasi Darurat (mengenai Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak, Pilihan Raya Negeri Bugaya, Sabah).

“Urusan lain yang ditetapkan adalah penerangan daripada menteri-menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 13(1)(i), peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung Pelan Pemulihan Negara, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej-pakej bantuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Rais berkata, beliau dimaklumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku ketua majlis bahawa mesyuarat khas tersebut mustahak diadakan kerana ia adalah bagi faedah orang ramai dan perlu diadakan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

Katanya, pemakluman Muhyiddin itu adalah selaras peruntukan Peraturan Mesyuarat 10 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Selain itu, beliau menjelaskan persidangan khas itu adalah di luar kuat kuasa tempoh darurat dan Peraturan Mesyuarat biasa akan dikuatkuasakan dalam menjalankan prosedur persidangan sepanjang persidangan tersebut.

Rais berkata, bagi memastikan mesyuarat khas itu berlangsung dalam keadaan selamat, segala SOP ketat anti-Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dikuatkuasakan sepanjang masa.

Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah akan menyusul dengan mengeluarkan pemberitahuan berkenaan mesyuarat khas itu kepada semua ahli Dewan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.