Surat MITI bagi tempoh 18 hingga 21 Julai dilarang rentas negeri, kata polis

Surat MITI bagi tempoh 18 hingga 21 Julai dilarang rentas negeri, kata polis

Ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Polis mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.
PETALING JAYA:
Polis tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk tujuan pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Katanya, ia susulan peningkatan bilangan kenderaan dikesan di lebuh raya dalam tempoh dua hari kebelakangan ini.

“Semua sekatan jalan raya sempadan negeri telah diarah meningkatkan penguatkuasaan untuk tujuan itu dan diarah untuk tidak menerima dokumen MITI bagi tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, larangan berkenaan tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Jelasnya, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan berkenaan akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.

Semalam, media tempatan melaporkan kemasukan kenderaan dari arah utara iaitu melalui Jalan Gerik-Jeli ke Kelantan meningkat sebanyak 5%, sejak Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Abdullah Muhammad Piah berkata, pertambahan tersebut melibatkan pergerakan kenderaan dari negeri seperti Perak, Kedah dan Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.