Padah main badminton, 6 lelaki termasuk pemilik dewan dikompaun

Padah main badminton, 6 lelaki termasuk pemilik dewan dikompaun

Lima pemain badminton dikompaun RM2,000 seorang manakala pemilik dewan dikenakan kompaun RM4,000 kerana membenarkan aktiviti sukan dalam bangunan.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata polis mengambil masa untuk masuk ke dewan itu kerana pintunya dikunci.
LUMUT:
Enam lelaki termasuk pemilik sebuah dewan badminton di Ayer Tawar, di sini, dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata lima daripada mereka yang bermain badminton di dewan itu dikompaun selepas pihaknya memeriksa dewan berkenaan pada kira-kira 6 petang, hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata polis mengambil masa untuk masuk ke dewan itu kerana pintu masuknya dikunci dan mendapati kesemua lelaki berusia 25 hingga 31 tahun berkenaan telah berhenti bermain badminton.

Menurutnya, hasil siasatan kemudian mendapati kelima-lima mereka mengaku bermain badminton di dewan itu.

“Polis mengeluarkan kompaun RM2,000 seorang ke atas lima lelaki itu di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Semasa pemeriksaan, pemilik premis itu tiada di situ, namun kemudiannya dipanggil serta dikompaun RM4,000 kerana membenarkan aktiviti sukan ‘indoor’ (dalam bangunan) iaitu bermain badminton di dalam dewannya kerana sukan badminton masih tidak dibenarkan dalam tempoh Fasa Dua PPN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Omar sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi melandaikan lekuk jangkitan wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.