Polis akan panggil 3 individu penganjur himpunan #kerajaangagal

Polis akan panggil 3 individu penganjur himpunan #kerajaangagal

Himpunan berkenaan diketuai Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang merupakan gabungan parti politik iaitu Muda, Pejuang, Amanah, PKR.

Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua mereka yang terlibat ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikompaun atas kesalahan perlanggaran melanggar SOP PPN.
PETALING JAYA:
Polis akan memanggil tiga individu selaku penganjur himpunan #kerajaan gagal di Dataran Merdeka, dalam masa terdekat kerana melanggar kesalahan berhimpun ketika pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara masih berkuatkuasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasukannya bersama pegawai pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) pergi ke lokasi kejadian pada jam 3 petang dan mengarahkan seramai 20 individu yang terbabit dalam himpunan berkenaan bersurai.

“Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan hasil siasatan awal mengenal pasti tiga individu yang merupakan penganjur himpunan tersebut.

“Kesemua mereka yang terlibat ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikompaun atas kesalahan perlanggaran Perkara 10 Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Kawalan Berhimpun,” katanya dalam kenyataan.

Zainal berkata, dalam perhimpunan yang diadakan di padang Dataran Merdeka, peserta membawa bendera hitam dan kain rentang bertulis “Kita Mati Dalam Derhaka #Keluar dan Lawan” serta lima patung menyerupai jenazah yang dikafan.

“Kumpulan ini diketuai Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang merupakan gabungan parti politik iaitu MUDA, Pejuang, Amanah, PKR.

“Semasa himpunan tersebut berlangsung, peserta juga melancarkan kempen puisi #PuisiDarurat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional kerana gagal menangani Covid-19,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan gabungan berkenaan menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera berundur dan sidang Parlimen penuh diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.