Kenapa tak buat sistem janji temu di CAC; sampai bila pesakit dibiar beratur panjang, tanya Najib

Kenapa tak buat sistem janji temu di CAC; sampai bila pesakit dibiar beratur panjang, tanya Najib

Ini bagi mengelakkan pesakit perlu beratur panjang sehingga ke hadapan rumah orang, seperti yang berlaku di sebuah CAC baru-baru ini, katanya.

Awal minggu ini, dilaporkan bahawa CAC di Lembah Klang sesak, menyebabkan pesakit terpaksa beratur hingga ke kawasan kediaman berhampiran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak, menyarankan kepada kerajaan agar melaksanakan sistem janji temu bagi pusat penilaian Covid-19 (CAC) untuk mengelakkan orang ramai beratur panjang.

Menurut beliau, tiada sebab mengapa sistem itu, yang digunakan di pusat pemberian vaksin (PPV), tidak dapat diterapkan buat pesakit yang memerlukan perhatian di CAC agar mereka tidak perlu berdiri berjam-jam menunggu giliran.

Awal minggu ini, dilaporkan bahawa CAC di Lembah Klang sesak, menyebabkan pesakit terpaksa beratur hingga ke kawasan kediaman berhampiran.

“Kerajaan kata kepada penduduk bahawa ribuan orang disahkan positif Covid-19 yang beratur depan rumah mereka untuk mendapat perhatian di CAC adalah tidak berbahaya.

“Risiko berjangkit pada mereka adalah sangat rendah sebab mereka beratur di luar bangunan (“outdoor”) yang mana kepekatan zarah virus adalah rendah kerana pengudaraan yang baik, kata kerajaan.

“Namun pada hari yang sama pula, KP KKM (Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan) kata jangkitan varian baharu boleh berlaku dalam 15 saat saja dan jangkitannya (adalah) mengikut udara.

“Jadi, adakah penduduk berdekatan tidak rasa tak selesa dan marah jika pesakit Covid terus dibiarkan beratur panjang di depan rumah mereka?” soal Najib dalam catatan Facebook hari ini.

Susulan liputan media mengenai barisan panjang di CAC, KKM berkata pada Khamis, CAC maya akan ditubuhkan bagi menguruskan kes-kes tidak bergejala.

Ketua pasukan petugas Lembah Klang Dr Chong Chee Kheong berkata, CAC sebegini akan memberi perkhidmatan kepada pesakit-pesakit dalam Kategori 1 dan 2.

Katanya, pemantauan akan dibuat secara maya, tanpa individu berkenaan perlu hadir di CAC, selain Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital akan dikeluarkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.