Ganda bantuan kebajikan buat B40, M40, DAP beritahu kerajaan

Ganda bantuan kebajikan buat B40, M40, DAP beritahu kerajaan

Lim Guan Eng, Tony Pua dan V Sivakumar turut mencadangkan supaya Dana Covid-19 dilanjutkan lagi selepas 2022.

Lim Guan Eng menyampaikan memorandum kepada Menteri Kewangaan Tengku Zafrul Abdul Aziz. Tony Pua (kanan) dan V Sivakumar (kiri) turut hadir dalam pertemuan dengan pegawai Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis.
PETALING JAYA:
Dengan mengambil kira kesusahan dialami golongan B40 dan M40 semasa wabak Covid-19, DAP meminta kerajaan menggandakan bayaran bantuan kebajikan bulanan mereka.

Dalam memorandum yang dihantar kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, DAP berkata, RM5 bilion harus diperuntukkan bagi tujuan ini bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menerusi memorandum berkenaan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar mencadangkan bayaran bagi golongan miskin tegar ditingkatkan dari RM1,300 menjadi RM2,500 dan bagi kumpulan B40, dari RM800 kepada RM1,900.

Bayaran bulanan semasa sebanyak RM250 bagi golongan M40 pula harus ditingkatkan menjadi RM1,100.

“Tambahan lagi, kami cadangkan supaya Dana Covid-19 dilanjutkan lagi selepas 2022 untuk mengurangkan kesan kejutan negatif terhadap ekonomi yang sedang cuba pulih.

“Tarikh luput yang dilanjutkan ini patut disekalikan dengan tempoh 10 dengan nisbah hutang-kepada-KDNK dan nisbah faedah cukai yang lebih tinggi,” menurut memorandum berkenaan.

Tambah mereka, kebimbangan agensi penarafan kredit antarabangsa dapat dikurangkan dengan adanya rancangan fiskal yang jelas untuk masa hadapan.

Menurut DAP, sejak wabak mula melanda, beberapa negara, termasuk Brazil dan Jepun, telah meningkatkan had perbelanjaannya tanpa menjejaskan taraf kredit masing-masing.

DAP turut mengulangi gesaannya agar moratorium pinjaman enam bulan tanpa faedah diberikan, selain kapasiti ujian dan pengesanan dipertingkat.

Pada masa sama, DAP mahu kerajaan memperuntukkan RM6 bilion buat insentif pengambilan pekerja untuk tempoh dua tahun akan datang dengan insentif upah RM500 sebulan untuk pekerja tempatan dan insentif pengambilan RM300 sebulan untuk majikan.

“(Ini akan) mewujudkan pekerjaan untuk 250,000-300,000 pekerja tempatan,” katanya.

“Kadar pengangguran belia masih lagi tinggi, pada kadar 13.4% pada Mac 2021.

Mereka turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan geran dan subsidi kewangan bernilai RM30 billion untuk sektor ekonomi, dengan pelaburan RM15 billion dalam bentuk geran dan pinjaman mudah yang diberikan bersama insentif cukai yang berpatutan “untuk menjadikan tempat kerja, kilang, dan asrama pekerja kalis pandemik”.

Tambahnya, ini selari dengan garis panduan pengudaraan yang baru diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan SOP yang dikemaskini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.