
Selepas menerima notis, barulah beliau akan membayar kompaun, katanya.
“Saya tunggulah (notis kompaun), saya tunggu. Dah dapat notis saya pi (pergi) bayar,” katanya di Langkawi hari ini, menurut laporan Utusan.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya sudah menerima arahan dan akan mengeluarkan kompaun ke atas Sanusi dalam masa terdekat, namun beliau enggan mengulas lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata, jumlah kompaun berkenaan tidak didedahkan seperti kelaziman dalam kes berprofil tinggi, dan terpulang kepada seseorang pesalah sama ada mahu menerimanya atau mempertikaikan kompaun itu di mahkamah.
Terdahulu pada 5 Jun, seorang wanita mendakwa di Facebook bahawa beliau melihat Sanusi dan dua pegawainya memandu uji sebuah pikap bernilai RM211,000 di Juru Auto City, disertai gambar dan video sebagai bukti.
Sanusi bagaimanapun menafikan berbuat demikian, sebaliknya berkata, beliau hanya duduk di sebelah jurujual yang memandu.
Katanya, ia berlaku secara kebetulan ketika beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat.
Beliau berhenti untuk membeli “roti dan air” di sebuah kedai dan ternampak bilik pameran kereta Ford terletak bersebelahan sebelum berbual dengan jurujualnya.
Sanusi kemudiannya menerima tawaran jurujual untuk menaiki kereta terbabit di sekitar kawasan sebelum bergerak ke Kuala Lumpur.