‘Ada yang tak kena’, penduduk mengadu PBT membisu aktiviti pembakaran terbuka

‘Ada yang tak kena’, penduduk mengadu PBT membisu aktiviti pembakaran terbuka

Seorang penduduk Seksyen 25, Shah Alam mencari jawapan mengenai kegiatan berkenaan, selain pembersihan tanah, yang didakwanya menganggu.

Pembakaran terbuka dan pembersihan tanah di Seksyen 25, Shah Alam.
PETALING JAYA:
Pembersihan tanah dan pembakaran terbuka yang berleluasa di Seksyen 25, Shah Alam, tanpa tindakan diambil pihak berkuasa, mencetuskan kemarahan sekurang-kurangnya seorang penduduk yang sedang mencari jawapan.

David (bukan nama sebenar) memberitahu FMT, ada pihak mula membersihkan dan membakar kawasan yang terletak di antara loji rawatan air Indah Water dan Sungai Klang sebulan yang lalu.

Tiada papan tanda yang memberitahu mengapa tanah tersebut, milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dibersihkan.

Kata David, pembersihan tanah berlaku setiap hari dan penduduk di pangsapurinya harus tahan mendengar bunyi bising mesin pengorek dan generator yang digunakan untuk menyedut air dari loji, selain asap daripada pembakaran terbuka.

Ini lebih membimbangkan, katanya, kerana kebanyakan penduduk kini bekerja dari rumah berikutan wabak Covid-19 dan sekatan pergerakan.

David ingin tahu sama ada kerja-kerja di tanah berkenaan mendapat kelulusan, termasuk permit untuk beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh, juga permit daripada Indah Water untuk menyedut air dari loji rawatan.

Asap dilihat berkepul-kepul di lokasi pembakaran terbuka.

Katanya, beliau telah mengutarakan isu ini kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui akaun Twitter dan laman webnya, menghubungi talian aduan dan mengunjungi ibu pejabatnya di Shah Alam, selain cawangannya di Kota Kemuning, namun semua usahanya tidak berhasil.

“Saya mula berasa ada yang tidak kena kerana MBSA membisu. Majlis boleh sahaja membalas ciapan saya kerana ia agak aktif di Twitter,” katanya kepada FMT.

“Sekalipun MBSA perlu menyiasat aduan itu, tidak perlu ambil masa lama untuk memberi maklum balas.”

Selain banyak aduan kepada MBSA, katanya, beliau turut mengadu kepada Jabatan Alam Sekitar Selangor (JASS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Setelah pihak berkuasa memadamkan kebakaran dan menutup kawasan itu pada April, aktiviti pembakaran sekali lagi berlaku sejak sebulan lalu.

David berkata, seorang pegawai JASS memaklumkan bahawa seorang petani sedang membakar tumbuhan bawah di kawasan itu bagi tujuan kegiatan pertanian haram dan jabatan itu telah memasang notis melarang pembakaran terbuka.

“Walaupun ada notis, mereka masih melakukan pembakaran haram setiap hari,” kata David.

“Oleh kerana ini terjadi setiap hari, tidaklah sesukar mana untuk menangkap mereka dan memastikan mereka dihukum.”

Pengarah JASS Nor Aziah Jaafar memberitahu FMT, pihaknya telah memulakan siasatan mengenai pembakaran terbuka berkenaan pada Mac.

Bagaimanapun, oleh kerana lokasi tersebut terletak di tebing Sungai Klang, aduan tersebut dirujuk ke Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan MBSA untuk tindakan selanjutnya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan David, jurucakap MBSA berkata, majlis akan meneliti perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.