Tular, video menyayat hati rakam deretan van bawa jenazah pesakit Covid-19

Tular, video menyayat hati rakam deretan van bawa jenazah pesakit Covid-19

Kawalan ketat juga dilakukan polis bagi memastikan kelancaran laluan van jenazah itu.

Deretan van jenazah dilihat tiba di tanah perkuburan di Shah Alam itu, hari ini. Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan 68 kematian akibat Covid-19 hari ini iaitu lebih separuh daripada 110 yang direkodkan di seluruh negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu video tular menunjukkan deretan van membawa jenazah dipercayai pesakit Covid-19 dirakam memasuki pintu pagar Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor sejak 7.40 malam tadi.

Dalam rakaman dikongsikan Bernama di akaun media sosialnya, video berdurasi 47 saat itu menunjukkan lebih kurang 11 van memasuki tanah perkuburan itu.

Kawalan ketat juga dilakukan polis bagi memastikan kelancaran laluan van jenazah berkenaan.

Video itu yang ditonton ribuan kali turut mendapat simpati warganet yang mengucapkan kesedihan dan takziah kepada keluarga si mati.

“Ya Allah, sedihnya,” kata pengguna media sosial Maria Yah, manakala seorang lagi, Ali Basyeer, mendoakan Malaysia terus diselamatkan daripada pandemik.

Selangor terus mencatatkan kes harian negeri tertinggi dan hari ini jumlah jangkitan harian berdasarkan negeri itu dengan 5,512 kes.

Hari ini, Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan 68 kematian, iaitu lebih separuh daripada 110 yang direkodkan di seluruh negara.

Kerajaan telah mengumumkan pelbagai langkah untuk meningkatkan kapasiti hospital-hospital, termasuk menyediakan lebih banyak katil dan membawa pekerja kesihatan dari luar Lembah Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.