Pandu uji pikap di Juru, MB Kedah dikompaun langgar SOP

Pandu uji pikap di Juru, MB Kedah dikompaun langgar SOP

Polis berkata Muhammad Sanusi Md Nor didenda kerana didakwa melanggar SOP, namun jumlahnya tidak didedahkan.

Tangkap layar video diambil seorang wanita yang mendakwa Menteri Besar Kedah memandu uji sebuah pikap.
GEORGE TOWN:
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dikompaun kerana didakwa melanggar SOP perintah kawalan pergerakan berkait pandu uji sebuah pikap di Juru, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan, berkata jumlahnya tidak didedahkan seperti kelaziman dalam kes berprofil tinggi, dan terpulang kepada seseorang pesalah sama ada mahu menerimanya atau mempertikaikan kompaun itu di mahkamah.

“Kami telah memberi kompaun kepadanya (Sanusi) seperti diarahkan pejabat pendakwa.

“Dalam kes melibatkan VIP sebelum ini seperti Neelofa dan Siti Nurhaliza, kami juga berbuat perkara sama, dan terpulang kepada mereka jika mahu membawa ke mahkamah,” katanya ketika ditanya mengenai jumlah kompaun yang dikenakan itu.

Pada 5 Jun, seorang wanita berkongsi di Facebook, yang dia melihat Sanusi dan dua pegawainya memandu uji sebuah pikap bernilai RM211,000 di Juru Auto City.

Sanusi bagaimanapun menafikan memandu uji kenderaan itu, sebaliknya berkata beliau hanya duduk di sebelah jurujual yang memandu.

Nini Siron, 36, mengambil gambar dan video itu di Juru Auto City sebelum memuatnaiknya di Facebook.

Beliau kemudian membuat laporan polis pada hari sama, yang menjadi asas kepada siasatan terhadap Sanusi memandangkan pandu uji tidak dibenarkan ketika PKP.

Suri rumah itu turut membuat satu lagi laporan kerana menjadi mangsa buli siber dan menerima ancaman daripada penyokong Sanusi di Facebook. Susulan itu, perkara terbabit juga disiasat.

Nini diserang di dalam talian oleh mereka yang mendakwanya melakukan fitnah terhadap Menteri Besar itu, selain gambar keluarga dan anak lelakinya juga disebarkan di media sosial.

Polis Bukit Mertajam sudah mengambil keterangan Sanusi.

Menjelaskan kejadian itu, Sanusi berkata ia berlaku secara kebetulan ketika beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu mesyuarat.

Katanya beliau berhenti untuk membeli ‘roti dan air’ di kedai RM2 di Juru Auto City dan ternampak bilik pameran kereta Ford terletak bersebelahan sebelum berbual dengan jurujualnya.

Sanusi kemudiannya menerima tawaran jurujual untuk menaiki kereta terbabit di sekitar kawasan sebelum bergerak ke Kuala Lumpur.

Beliau kesal dengan tindakan Nini yang tidak mendapatkan penjelasan sebelum memuat naik ke Facebook tetapi berjanji untuk membayar denda yang dikenakan terhadapnya atau jurujual sekiranya didapati bersalah.

Beliau juga dipetik berkata, akan untuk membelikan Nini sebuah telefon pintar lebih baik bagi membolehkannya membuat rakaman video lebih ‘bermanfaat’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.