
Sekilas pandang, pemandangannya begitu tenang menggambarkan kehidupan yang indah di Cameron Highlands.
Namun pengusaha ladang di daerah itu kini bergelut meneruskan kehidupan susulan wabak Covid-19 yang semakin memburuk, yang menghancurkan industri pelancongan serta menjejaskan tenaga kerja.
“Saya bertani sejak 40 tahun lalu dan wabak ini memang krisis terburuk pernah dialami,” kata Chai Kok Lim, Presiden Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands kepada AFP.
Wabak di Malaysia diburukkan akibat varian Delta dan sehingga kini kira-kira 880,000 kes dilaporkan dengan lebih 6,600 kematian.

Kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara pada awal Jun yang menjejaskan lagi ekonominya.
Ladang Cameron Bharat, meliputi 240ha kebun teh, tidak ketinggalan berdepan masalah dihadapi sektor pertanian daerah itu.
Pengunjung hampir tiada langsung pada masa ini disebabkan sekatan pergerakan seterusnya menjejaskan pendapatannya dan memaksa ladang itu menutup dua kedai yang menjadi tarikan pelancong.
Tiada pekerja, tiada pelancong
Pengurusnya Francis Xavier berkata, ladang itu juga berdepan masalah kekurangan tenaga kerja asing kerana sekatan pergerakan turut bererti kakitangan baharu tidak dapat dibawa masuk.
Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mahu melakukan kerja dianggap berat dan kotor itu.
“Kekurangan tenaga kerja mencukupi akan menjejaskan jadual pengeluaran kami seterusnya pendapatan diraih,” katanya dengan menambah syarikat itu perlu bersedia memenuhi permintaan yang dijangka melonjak sebaik sekatan dilonggarkan dan pelancong dibenarkan kembali ke situ.
Sementara itu, pengusaha bunga kekwa, Parveen Kumar Mohan, 31, mengakui tidak cukup pekerja untuk memetik bunga yang digunakan dalam majlis keagamaan Hindu.
Malah, katanya, sekiranya dipetik sekalipun beliau tidak dapat menjual bunga dihasilkan kerana tiada permintaan.
“Kuil-kuil ditutup dan tiada pelancong,” katanya.
Chai berkata, rakyat Malaysia sendiri yang akan membayar harga akibat krisis itu.
“Tanpa pekerja mencukupi, hasil sayuran kami juga berkurangan, seterusnya pengguna perlu membayar harga lebih tinggi,” katanya.