Lebih 380,000 pelajar UA dapat manfaat pengurangan yuran berjumlah RM185.7 juta

Lebih 380,000 pelajar UA dapat manfaat pengurangan yuran berjumlah RM185.7 juta

Kadar pengurangan adalah munasabah memandangkan 20 universiti awam terlibat terpaksa menanggung kos operasi tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.

Kementerian Pengajian Tinggi berkata, pengurangan antara 10% hingga 35% itu diberikan susulan surat edaran Jabatan Pendidikan Tinggi yang meminta pihak universiti memberi kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran.
KUALA LUMPUR:
Seramai 386,142 pelajar universiti awam (UA) menerima manfaat daripada inisiatif pengurangan yuran berjumlah RM185.7 juta yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, pengurangan antara 10% hingga 35% itu diberikan susulan surat edaran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bertarikh 22 Mac yang meminta pihak universiti memberi kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran.

“Pengurangan itu meliputi yuran perkhidmatan, asrama, konvokesyen dan aktiviti kolej diberikan kepada pelajar semester kedua sesi akademik 2019/2020 sehingga hari ini, sebelum dilanjutkan kepada dua semester lagi bagi sesi akademik 2020/2021.

“Pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta dengan RM20 juta adalah peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA,” menurut kenyataan itu.

Bagi semester pertama sesi akademik 2020/2021 pula, pengurangan yuran adalah sebanyak RM70.2 juta dan RM40.5 juta lagi untuk semester kedua sesi akademik 2020/2021.

“Langkah-langkah yang diambil ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani beban kewangan yang dihadapi pelajar dan ibu bapa,” kata kenyataan itu lagi.

KPT juga berpandangan kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA terlibat terpaksa menanggung kos operasi tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.