Sabar, jangan percaya kempen kerajaan gagal, kata PM

Sabar, jangan percaya kempen kerajaan gagal, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat agar tidak mempercayai kempen kerajaan gagal mengurus pandemik Covid-19.

Muhyiddin meminta rakyat bersabar dan tidak mempercayai kempen bahawa kerajaan gagal mengurus pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meminta rakyat untuk bersabar dan tidak mempercayai kempen kerajaan gagal mengurus pandemik Covid-19.

Beliau berkata kerajaan prihatin dan rasa bertanggungjawab dalam menentukan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Dalam soal pengurusan kebajikan rakyat ni kita tak boleh berkompromi…di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka,” katanya kepada Bernama selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sebelum ini, tular pelbagai tanda pagar dan kempen kerajaan gagal di media sosial, mengecam tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pandemik.

Negara ini merekodkan kes Covid-19 tertinggi sejak pandemik melanda untuk dua hari berturut-turut dengan 11,079 kes pada Selasa dan 11,618 kes semalam.

Terdahulu, Muhyiddin meninjau penyediaan bakul makanan di bawah program itu yang melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Muhyiddin berkata setakat ini, tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan melibatkan peruntukan RM173.4 juta yang telah memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lepas.

“Sebahagian besar dari kumpulan-kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana tak boleh nak berniaga dan berhenti kerja, semua kita sampaikan bantuan,” katanya.

Mereka yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh memohon bantuan dengan menghubungi Talian Kasih di 15999, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan tempat tinggal serta merujuk maklumat di media sosial rasmi KPWKM, katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau mahu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mempertimbangkan kelonggaran pergerakan individu yang lengkap dua dos vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.