Muhyiddin bagaimanapun berseloroh dengan berkata, beliau “senang hati” jika rakyat mengibarkan bendera biru.
“Tak payah naik bendera putih, hitam. Nak naik bendera biru tak apa (ketawa). Maksud saya tadi, kita tahu di mana, kementerian ada rekod dan saya dimaklum oleh (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Rina (Harun) tadi, penerima itu dia akan catat,” katanya selepas meninjau Program Bakul Prihatin Negara di Putrajaya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, RM21 juta diperuntukkan untuk program berkenaan dengan kerjasama syarikat korporat membabitkan agihan 420,000 bakul yang memanfaatkan 1.68 juta penerima, termasuk golongan T20 dan M40 yang terkesan.
Katanya, kementerian berkaitan mempunyai sistem pendaftaran untuk memastikan agihan bantuan dapat dibuat dengan adil dan berterusan kepada kumpulan sasaran.
“Kita tak kira, T20 pun kita bantu kerana ada antara mereka terkesan kerana tidak boleh berniaga atau terpaksa diberhentikan kerja.
“Saya rasa, kalau turun ke banyak rumah ni, tengok kat dapur, dah penuh dah kot (ketawa),” katanya secara berseloroh.
“Tapi saya tak kata bahawa semua dapat begitu. Kita ada sistem untuk mendaftar supaya pengagihan itu dibuat secara lebih adil dan saksama.
“Jangan ada satu orang dapat seorang 10 kotak, yang lain tak dapat kotak langsung.”
Kempen #BenderaPutih adalah inisiatif komuniti bagi membantu mereka yang terdesak dan memerlukan makanan serta bantuan lain ketika menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan ekoran pandemik Covid-19.
Kempen bendera hitam pula adalah sebagai simbolik kepada bantahan terhadap dakwaan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara ketika berdepan pandemik Covid-19.