
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH Amrin Awaluddin berkata TH mengambil maklum dan menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu.
“TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus.
“Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amrin berkata TH sentiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan pendeposit.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.
Penubuhan RCI bertujuan memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.