Tak boleh masuk ambil barang, kata JPNP kepada pekebun haram Musang King

Tak boleh masuk ambil barang, kata JPNP kepada pekebun haram Musang King

JPNP berkata larangan itu bagi mengelak gangguan kepada siasatan yang sedang berjalan untuk tujuan pendakwaan.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang tidak membenarkan pekebun haram durian Musang King memasuki Hutan Simpan Batu Talam untuk mengambil barang milik mereka kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan pekebun haram durian Musang King di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, memasuki kawasan operasi penguatkuasaan untuk mendapatkan semula barangan milik mereka.

JPNP berkata, larangan itu bagi mengelak gangguan ke atas siasatan yang sedang berjalan untuk tujuan pendakwaan.

“Setelah mendapat nasihat serta pandangan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan juga timbalan pendakwa raya, JPNP tidak membenarkan pekebun memasuki Hutan Simpan Batu Talam mengambil barang milik mereka kerana tindakan ini boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, meminta Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, upaya smendapatkan sendiri kebenaran jika pekebun terbabit mahu memasuki kawasan berkenaan untuk mendapatkan semula barangan milik mereka.

Wan Rosdy berkata, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Ahmad Masrizal Muhamad di Wisma Sri Pahang, Kuantan, petang semalam yang turut disertai Chong.

Katanya, dalam kunjungan hormat itu, isu berkaitan kerja penguatkuasaan di HSK Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektar meliputi kebun haram durian Musang King dibangkitkan.

Susulan itu, beliau menyatakan ketegasan kerajaan Pahang dalam kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum atau kawasan atau daerah ia berlaku melibatkan pencerobohan tanah haram di negeri berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.