Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan itu juga bergantung kepada tiga indikator utama yang ditetapkan di bawah PPN termasuk kadar vaksinasi lengkap dua dos melepasi nilai ambang 10%.
“Prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberi petunjuk bahawa kadar vaksinasi lengkap dua dos telah melepasi nilai ambang 10% yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2.
“Indikator ini sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10% populasi pada akhir bulan Julai ini.
“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa 2 pada awal bulan Ogos seperti Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang telah pun terlebih dahulu berada di Fasa 2 setelah melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang muncul sebagai kumpulan pertama peralihan ke Fasa 2 pada 5 Julai lalu, diikuti Pulau Pinang pada 7 Julai dan Sarawak pada 14 Julai.
Peralihan itu berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama ditetapkan Kementerian Kewangan di bawah PPN sejak dilaksanakan pada 29 Jun lalu.
Peralihan Fasa 1 ke Fasa 2 dibuat berdasarkan nilai ambang diukur melalui purata kes harian Covid-19 direkodkan menurun bawah 4,000 kes dan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi berada pada paras sederhana, selain kadar vaksinasi bagi jumlah populasi yang menerima dua dos lengkap mencapai 10%.
Kerajaan menjangkakan, seluruh negara beralih sepenuhnya kepada Fasa 4 PPN menjelang akhir tahun ini dan kehidupan kembali normal seperti sebelum wabak itu muncul tahun lalu.