
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan Gerald Wayne Mickelson untuk mengetepikan sabitan membunuh Guilda Mickelson dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi.
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Harmindar Singh Dhaliwal.
Mahkamah juga memerintahkan Mickelson menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 26 Nov 2016, bererti dia akan dibebaskan dalam tempoh beberapa minggu lagi, lapor Bernama.
Semasa dihubungi, salah seorang peguam Mickelson, Grace S Nathan berkata mahkamah memutuskan perayu tiada niat untuk membunuh bekas isterinya itu.
Mickelson didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada September 2018 kerana membunuh mangsa berusia 61 tahun itu, yang juga warga Amerika Syarikat, dalam sebuah bilik hotel di Lingkaran Syed Putra, Brickfields, di sini antara 5 hingga 11 pagi pada 26 Nov 2016.
Rayuannya sebelum ini ditolak di Mahkamah Rayuan.
Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi, seorang saksi pendakwaan berkata pihak hotel menerima panggilan menerusi interkom pada hari kejadian, daripada seorang lelaki meminta polis datang ke bilik yang dihuninya kerana ada “masalah”.
Seorang pegawai bertugas dan seorang pegawai keselamatan kemudian ke bilik terbabit dan tetamu yang kemudian dikenal pasti sebagai perayu memberitahu mereka bahawa bekas isterinya telah mati, malah dia memberitahu mereka bahawa dia membunuhnya.
Susulan itu, dalam prosiding hari ini, peguam utama Mickelson, N Sivananthan berhujah bahawa perayu tidak berniat menyebabkan kecederaan teruk kepada mangsa.
“Perayu (Mickelson) telah berkahwin dengan si mati selama 30 tahun dan terus menjaganya selama lima tahun lagi selepas perceraian mereka.
“Seseorang tidak akan menghabiskan 35 tahun untuk menjaga dan melindungi seseorang hanya untuk berubah dalam satu hari dan (tiba-tiba) memutuskan untuk mencederakan apatah lagi membunuh mereka,” katanya.
Sivananthan berkata pergaduhan secara tiba-tiba itu dimulakan si mati ketika Mickelson cuba meninggalkan bilik hotel pada pagi kejadian.
” Apa yang berlaku adalah secara tidak sengaja dan perlu untuk menghalang si mati daripada mencekiknya,” katanya.
Sementara itu, ketika rayuan bagi meringankan hukuman, Grace meminta mahkamah menyulami keadilan dengan belas kasihan mengambil kira usia Mickelson, selain kecederaan dialami mangsa tidak bersifat kejam atau luar biasa.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari dan Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.